Sabtu, 21 Julai 2018

Kekosongan Dun Balakong diserah kepada SPR minggu depan

SINAR HARIAN
SPR
SPR

SHAH ALAM – Notis kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Balakong berikutan kematian penyandangnya, Ng Tien Chee dalam kemalangan tengah malam semalam, dijangka diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu depan.

Perkara itu disahkan oleh Speaker Dun Selangor, Ng Suee Lim menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama di sini, hari ini.

“Dijangkakan (penyerahan notis kekosongan kerusi Dun Balakong) minggu depan,” katanya ringkas.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam itu, Ng, 40, yang memandu kenderaan jenis Nissan x-Trail dari arah Kuala Lumpur ke Kajang, maut selepas melanggar belakang sebuah lori di Km11.7 Lebuhraya Grand Saga.

Adun DAP itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Ng mengekalkan kerusi Dun Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon BN dan Pas dengan majoriti 35,538 undi. - Bernama

[ARTIKEL BERKAITAN: Adun Balakong maut kemalangan]

Tiada ulasan: