Ahad, 22 Julai 2018

Jemaah haji nikmati khemah hawa dingin di Padang Arafah








MAKKAH: Jemaah haji Malaysia bakal menikmati kemudahan baharu, iaitu khemah berhawa dingin di Padang Arafah semasa wukuf, bagi musim haji 1439H ini.

Pengerusi Majlis Tertinggi Muassasah Asia Tenggara, Muhammad Amin Hassan Andarqiri berkata, Malaysia negara pertama di dunia bagi jemaah muassasah yang dibekalkan khemah berhawa dingin ketika wukuf.

“(Pada mulanya) bagi tahun ini, kita membuat perjanjian dengan Tabung Haji untuk menaik taraf kemudahan kipas wap air kepada kipas penyejuk udara.


Namun, kerana hubungan baik antara kedua negara, kami memutuskan untuk menaik taraf kemudahan ini terus kepada pendingin hawa, khusus untuk jemaah haji Malaysia,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian selepas majlis taaruf bersama pengurus 12 maktab penginapan jemaah Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir ketua rombongan haji Malaysia, Datuk Seri Syed Salleh Abdul Rahman.

Beliau berkata, pihaknya mengambil inisiatif memasang alat penghawa dingin ekoran cuaca panas yang dijangka mencecah 50 darjah Celcius, di Arafah tahun ini semasa wukuf.



Justeru, Muhammad Amin berharap kemudahan itu memberi keselesaan kepada jemaah Malaysia untuk beribadah ketika wukuf di Arafah yang juga kemuncak Rukun Islam kelima itu.

“Saya sudah memaklumkan kepada Datuk Seri (Syed Salleh) untuk menasihati jemaah haji Malaysia membawa kain ihram tambahan (semasa di Arafah) kerana suhu di dalam khemah sangat sejuk, antara 24 hingga 25 darjah Celcius,” katanya.

Malaysia dipilih bagi menjayakan projek perintis itu selepas mengadakan perbincangan dengan pengurusan Tabung Haji untuk menaik taraf kemudahan muassasah Malaysia, di Padang Arafah.

Muhammad Amin turut memuji disiplin tinggi yang dipamerkan oleh jemaah muassasah Malaysia sepanjang musim haji tahun lalu.

Katanya, pencapaian itu bukan sahaja membanggakan Tabung Haji dan Malaysia, tetapi turut diiktiraf kerajaan Arab Saudi sebagai jemaah yang wajar dicontohi negara lain di dunia.

Tiada ulasan: