Sabtu, 21 Julai 2018

Jangan simbah rasa kebencian, kata Zahid

Wartawan MalaysiaGazette

Ahmad Zahid Hamidi
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media mengenai perkenalan kepimpinan tertinggi UMNO yang baharu di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. foto: SYAFIQ AMBAK

KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh menerima sesiapa sahaja dalam kalangan ahlinya yang mengeluarkan kenyataan yang berupa seranah kepada mendiang Eddie Ng Tien Chee.

“Biar pun semasa hayatnya mendiang mungkin pernah melakukan kesilapan dengan menghamburkan kata-kata kesat yang berupa cacian,” ujarnya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengucapkan takziah atas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri Balakong itu akibat kemalangan jalan raya awal pagi ini.

“Dalam isu kematian biar pun berbeza agama, apatah lagi berbeza politik, tidak seharusnya terdapat rasa kebencian yang disimbahkan,” kata Ahmad Zahid.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyelar kenyataan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Razlan Rafii yang mengeluarkan kenyataan keras berhubung kematian mendiang.

Sementara itu, menurut Ahmad Zahid, BN akan meletakkan calonnya setelah Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan secara rasmi kekosongan kerusi DUN Balakong.

“Calon yang akan dipilih kelak akan ditentukan setelah perbincangan mengenai perkara itu pada mesyuarat parti-parti komponen BN.

“Calon yang bertanding akan dipilih daripada nama-nama yang akan dikemukakan oleh parti komponen yang meletakkan calonnya pada PRU-14 lalu,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: