Isnin, 16 Julai 2018

Jalan susur Plaza Tol PD ditutup empat hari

Bernama

MGF18012017_PCPLUS12-681x454


KUALA LUMPUR –  Jalan susur keluar Plaza Tol Port Dickson arah utara akan ditutup selama empat hari mulai esok bagi kerja naik taraf jalan.

Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dalam kenyataan di sini, hari ini berkata kerja penyelenggaraan itu akan dilakukan bermula dari 8 malam sehingga 8 pagi sepanjang penutupan jalan berkenaan.

“Pengguna dinasihatkan agar menggunakan laluan alternatif untuk ke Port Dickson. Antara laluan alternatif yang boleh digunakan ialah pengguna boleh keluar melalui Plaza Tol Seremban (arah utara) dan menggunakan jalan Seremban 2 menuju ke Mambau dan terus ke Port Dickson.

“Bagi laluan alternatif yang lain, pengguna lebuh raya boleh menggunakan Plaza Tol Seremban (arah utara) menuju ke Bandar Baru Sendayan dan terus ke Port Dickson,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, PLUS berkata laluan lorong masuk Plaza Tol Port Dickson (arah selatan) dibuka dan beroperasi seperti biasa kepada pengguna yang mahu ke selatan.

PLUS juga menasihatkan semua pengguna lebuh raya yang menggunakan laluan tersebut supaya merancang perjalanan dan mematuhi semua papan tanda serta arahan yang dikeluarkan.— BERNAMA

Tiada ulasan: