Selasa, 17 Julai 2018

Jakoa: Hanya tanah rizab Orang Asli Kelantan belum diwartakan

 
Pengerusi Jakoa, Ajis Sitin berkata berbeza di Kelantan, negeri lain bertindak lebih drastik dalam proses mewartakan tanah rizab Orang Asli.


Sebelum ini Orang Asli mendirikan sekatan di Gua Musang bagi menghalang lori keluar masuk di kawasan mereka dan membantah aktiviti pembalakan serta perlombongan. (Gambar Bernama)


PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Kelantan dilihat masih bersikap tidak proaktif untuk mewartakan tanah rizab Orang Asli seluas 5,142.73 hektar di negeri tersebut.

Pengerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Ajis Sitin berkata, Kelantan kekal satu-satunya negeri yang belum berbuat demikian, berbeza dengan negeri lain yang bertindak lebih drastik dalam proses mewartakan tanah rizab masyarakat Orang Asli di negeri masing-masing.

“Ya, Kelantan masih belum mewartakan tanah rizab masyarakat Orang Asli.

“Kerajaan negeri seolah-olah enggan dan tidak mahu berbuat demikian,” katanya.
Mac lalu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dilaporkan selesai mengukur semua tanah rizab masyarakat Orang Asli di seluruh negara seluas 132,631.04 hektar pada tahun lalu, sebelum menyerahkan kepada kerajaan negeri masing-masing untuk diwartakan.

Menterinya ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu sekatan yang dibina oleh masyarakat Orang Asli di Chawas, Tohoi dan Kuala Wok di Gua Musang masih belum selesai kerana tanah masyarakat tersebut belum diwartakan kerajaan negeri.

Awal tahun ini pemimpin Jaringan Kampung Orang Asli di Kelantan, Mustafa Along dilaporkan berkata seramai 800 Orang Asli mendirikan sekatan di Gua Musang bagi menghalang lori keluar masuk di kawasan itu dan membantah aktiviti pembalakan serta perlombongan yang meluas.

Beliau berkata ada aktiviti pembalakan dan penanaman getah secara meluas di Chawas, penanaman pokok durian Musang King serta pembalakan dijalankan di Tohoi, manakala syarikat swasta menjalankan pembalakan, penanaman kelapa sawit dan perlombongan emas di Kuala Wok.

Susulan sekatan itu lebih 50 penduduk Orang Asli suku Temiar dari 6 pos penempatan di Gua Musang membuat laporan polis semalam bagi membantah sekatan itu dan mendakwa penduduk terlibat dipercayai dihasut pihak tertentu dari luar Kelantan.

Atas sebab itu, kementerian berkenaan pada ketika itu sukar untuk berbincang dengan pemimpin Orang Asli kawasan terbabit sehingga Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) tampil selaku orang tengah.

Tiada ulasan: