Ahad, 29 Julai 2018

Dr Wan Azizah: Saya sokong semua bertanding

 
   

PEMILIHAN PKR |  Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail melihat tindakan mana-mana individu termasuk Rafizi Ramli yang akan bertanding pada pemilihan parti itu adalah sebahagian daripada amalan demokrasi.

“Saya sokong semua pihak (yang bertanding). Saya rasa bahawa amalan demokrasi itu kita ketengahkan dan ia amalan sihat dan saya kira, pertandingan membolehkan parti kita lebih berkembang dan lebih menaikkan semangat antara anak muda,” katanya ketika diminta mengulas soalan mengenai keputusan Rafizi yang ingin bertanding jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan kali ini.

Anggota parlimen Pandan itu turut menafikan terdapat dua kem dalam PKR.

“Satu kem, kem saya,”  jelas Wan Azizah kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat di Bilik Gerakan PKR di Sungai Kandis, hari ini.

Dakwaan amalan kronisme, nepotisme

Wan Azizah turut berkata pihaknya juga mahukan muka baru dan lama bagi meneruskan perjuangan parti.

“Kita perlukan muka lama dan muka baru. Kesinambungan itu penting, lagi penting adalah untuk meningkatkan kualiti hidup negara kita untuk rakyat,” katanya.

Sementara itu, Azizah ketika ditanya mengenai dakwaan wujudnya amalan kronisme dan nepotisme dalam pembahagian jawatan lantikan politik di Selangor, Azizah berkata beliau kini sedang menunggu laporan berkaitan perkara itu.

“Saya belum lagi dapat bercakap dengan Majlis Pimpinan Negeri (MPN), saya akan cuba dapatkan laporan dari MPN,” katanya.

Selepas peletakan jawatan pemimpin pemuda PKR kelmarin, dua pemimpin PKR peringkat cabang bagi kawasan Sepang tampil mengulangi dakwaan berlaku amalan kronisme dan nepotisme dalam parti itu.

Timbalan Ketua Cabang PKR Sepang Suziana Musa dan Ketua Wanita PKR Cabang Sepang Nermala Dewi Muthusamy berkata amalan berkenaan terjadi dalam pelantikan ahli majlis di Selangor.

'Ustaz tarik pengundi'

Kenyataan itu turut mendakwa, terdapat calon ahli majlis Selangor mempunyai rekod jenayah dan menipu tahap kelulusan pendidikan.

Dalam kenyataan itu, Suziana turut mendakwa amalan kronisme dan nepotisme itu melibatkan seorang pemimpin PKR peringkat cabang yang juga pegawai politik pemimpin kerajaan negeri.

Berkaitan Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis pula, Azizah berkata calonnya berpotensi menarik undi walaupun PAS menyatakan sokongan terhadap Umno.

“Saya rasa, pertandingan ini adalah di antara HARAPAN dan Umno, PAS tidak bertanding tetapi saya rasakan ia akan menyokong mana-mana calon, tetapi calon kita mempunyai potensi, kerana seorang ustaz dan menarik pengundi dan ia merupakan sokongan yang diperlukan untuk menarik sokongan,” katanya.

Malam tadi, dua pemimpin pusat parti itu mengarahkan anggota PAS supaya memenangkan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam yang bertanding dalam usaha pembangkang merampas kerusi berkenaan.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata anggota dan penyokong parti itu perlu mengundi Lokman jika mahu melihat HARAPAN dikalahkan.

Katanya, PAS berpendirian tidak boleh menerima cara pemerintahan kerajaan sekarang.


Tiada ulasan: