Sabtu, 21 Julai 2018

Dr M salah tentang royalti 20%, kata menteri Sarawak

 
Karim Abdul Rahman berkata perdana menteri hanya cuba meredakan negeri-negeri pengeluar minyak apabila mengatakan royalti akan dinaikkan kepada 20% berdasarkan keuntungan.


Karim Abdul Rahman berkata ada perbezaan besar antara perjanjian sedia ada dengan tawaran Dr Mahathir. (Gambar Bernama)

KUCHING: Seorang ahli politik Sarawak tidak gembira dengan pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengatakan Sabah dan Sarawak akan diberi royalti minyak 20% tetapi kiraan berdasarkan keuntungan dan bukan jualan kasar.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Karim Abdul Rahman Hamzah berkata Dr Mahathir sama sekali salah dan kiraan royalti 20% berdasarkan keuntungan itu tidak akan diterima oleh rakyat di kedua-dua negeri itu.

“Royalti adalah bayaran yang dibuat kepada pemilik yang sah manakala keuntungan ialah manfaat kewangan apabila hasil aktiviti perniagaan mengatasi perbelanjaan, kos pengeluaran dan cukai.

“Dalam kes ini, Dr Mahathir hanya cuba menyenangkan hati negeri-negeri pengeluar minyak dengan menggunakan istilah ‘royalti’ dan kemudian mengatakan royalti itu dinaikkan ke 20% daripada keuntungan,” katanya.

Menteri pelancongan, keseniaan, budaya dan sukan itu menjelaskan ada perbezaan besar antara perjanjian sedia ada, iaitu 5% daripada jualan kasar, dengan tawaran Dr Mahathir.

Royalti daripada keuntungan itu bermaksud nilai selepas menolak kos pengeluaran, cukai dan perbelanjaan lain, katanya.

Bahayanya ialah angka kos pengeluaran tertakluk kepada banyak tafsiran kerana antara lain ia mungkin termasuk gaji eksekutif, perjalanan, kos keraian dan cukai.

“Selepas semua perkara ini ditolak barulah 20% itu muncul. Jumlahnya mungkin 0 atau kurang dari 5% bayaran tunai yang diberikan sekarang ini.

“Apa yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan ialah royalti 20% dan bukan 5% seperti sekarang ini.

“20% itu harus dikira berdasarkan pengeluaran, bukan keuntungan,” katanya.

Putrajaya mahu Petronas jawab

Sementara itu, Menteri Undang-Undang Liew Vui Keong menggesa Petronas menjelaskan istilah “keuntungan” dan “royalti” kepada rakyat bagi mengelakkan kekeliruan dan kerisauan.

“Kita belum lagi mendengar penjelasan daripada pakar minyak dan gas.

“Nilai 20% daripada keuntungan itu mungkin lebih, tetapi sekarang ini saya tak mahu berspekulasi,” kata menteri persekutuan itu.

Pada masa yang sama, Liew menggesa semua pihak jangan membuat sebarang kesimpulan sehingga Petronas sendiri mengeluarkan kenyataan rasmi tentang perkara ini.

Apa yang penting ialah kerajaan bersetuju untuk memberikan royalti 20% kepada semua negeri-negeri pengeluar minyak, katanya.

“Kita akan usahakan dinamiknya untuk melihat berapa banyak yang akan diterima Sabah daripada urus janji baru ini.

“Saya belum tengok angka-angka keuntungan Petronas. Saya perlu kaji perkara ini,” katanya.

Tiada ulasan: