Rabu, 11 Julai 2018

DHPP cadang tambah anggota polis


Devaraj
Devaraj (dua, kanan) dalam majlis penyampaian hadiah kepada pemain bola sepak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Ketil, baru-baru ini.
 
 
KUALA KETIL - Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Baling mencadangkan polis Baling membuat permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menambah bilangan anggotanya di daerah ini.

Ketuanya, Devaraj Lecthmaman berkata, penambahan anggota mampu mengawal jenayah terutamanya membabitkan kawasan Kuala Ketil.

Menurutnya, pihaknya mendapati banyak kes jenayah berlaku di Taman Desa Bidara dan Taman Insaniah.

“Walaupun kita lihat kadar jenayah tahun ini berkurangan berbanding tahun lalu, tetapi kes masih berlaku.

“Justeru itu, polis boleh memohon penambahan anggota kepada KDN. Dari situ, KDN akan melihat keperluan menambah cawangan baru atau balai polis di kawasan yang kekurangan anggota,” katanya mengulas isu kekurangan anggota di Kuala Ketil.

Tambahnya, jenayah mampu mempengaruhi golongan muda terutamanya pelajar sekolah.

“Dalam masa sama, DHPP turut memainkan peranan mendekati golongan pelajar dengan menganjurkan aktiviti berfaedah kerana tidak mahu mereka terjebak dalam perkara tidak berfaedah,” katanya.

Devaraj berkata, DHPP akan sentiasa mengikuti perkembangan kes jenayah di Kuala Ketil dalam memainkan peranan sebagai semak dan imbang kepada pihak berkuasa.

“Kita akan terus memantau isu dalam tempoh 21 hari. Jika tiada tindakan kita akan buat sidang media dan bawa perkara ini sendiri ke KDN dan Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Tiada ulasan: