Jumaat, 27 Julai 2018

Cuti Jumaat: PAS sedia menghadap Pemangku Raja Pahang

THE MALAYSIAN TIMES



KUANTAN: PAS Pahang bersedia menghadap Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam usaha menjadikan Jumaat sebagai cuti hujung minggu.

Pesuruhjayanya Rosli Abdul Jabar berkata pendekatan itu akan dibuat, sekiranya usul menukar cuti hujung minggu yang dikemukakan beliau pada Selasa lepas, dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ditolak.

“Kami akan menghadap pemangku raja untuk menyatakan hasrat kami kerana mengambil apa yang berlaku di Johor, cuti Jumaat bukan datang daripada kerajaan, tapi daripada titah Sultan Johor (Sultan Ibrahim Iskandar).

“… jadi kami akan cuba sedaya upaya dalam isu ini. Tapi kami juga menghormati semua hujah walaupun tidak bersetuju dengan cadangan ini, mahupun daripada DAP atau Barisan Nasional (BN) ,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Rosli berkata cadangan untuk menukar cuti hujung minggu di Pahang kepada Jumaat dan Sabtu berbanding Sabtu dan Ahad pada masa kini, dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat.

Sehubungan itu, beliau berkata PAS Pahang akan membuat pungutan suara dan mengumpul tandatangan rakyat yang menyokong cadangan itu sebelum menghadap Tengku Abdullah.

“Kita akui perkara ini ada pro dan kontranya. Pada peringkat awal, mungkin berlaku sedikit kecelaruan, namun lama-kelamaan ia akan menjadi perkara biasa,” katanya.

Pada perkembangan lain, Rosli berkata walaupun Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) baharu selesai, pihaknya telah memulakan gerak kerja untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, PAS Pahang yakin mereka menjadi pilihan rakyat pada masa hadapan, mengambil kira ‘kealpaan dan kecelaruan BN’.

“Bagaimanapun, untuk masa ini, matlamat kami adalah untuk menjadi pembangkang yang baik, prihation kepada rakyat dan matang dalam usaha membantu kerajaan negeri membanbgunkan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.—Bernama

Tiada ulasan: