Isnin, 16 Julai 2018

Bantah lantik Speaker patuhi peraturan mesyuarat – Najib

Nizam Zain
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan mempertahankan bantahan pelantikan Speaker Dewan Rakyat kerana mematuhi peraturan mesyuarat yang dimuat naik di akaun Facebooknya, hari ini.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan wakil rakyat pembangkang yang menyuarakan bantahan daripada segi proses pelantikan Speaker Dewan Rakyat adalah mematuhi peraturan mesyuarat badan tertinggi itu.

Beliau berkata, ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan terus mempertahankan bantahan itu manakala ahli-ahli Parlimen Kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga perlu menghormati suara pembangkang yang dijamin Perlembagaan.

“Hari ini Parlimen memulakan persidangan dan saya telah pun mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Pekan, Alhamdulillah.

“Ahli-ahli pembangkang hari ini juga telah menyuarakan bantahan dari segi proses pelantikan Speaker yang wajib berasaskan kepada peraturan mesyuarat.

“Saya ingin menegaskan bahawa semua ahli Dewan Rakyat perlu mematuhi segala peraturan Parlimen dan sebagai Pembangkang, kami menegaskan bahawa ini satu prinsip yang akan tetap kami pertahankan,” katanya yang dimuat naik di akaun Facebooknya, hari ini.

Awal pagi ini, Najib selaku Ahli Parlimen Pekan mewakili parti pembangkang daripada BN mendakwa Kerajaan PH telah menafikan hak bersuara pembangkang dalam soal pelantikan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Mohd Yusof.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, kerajaan baharu itu tidak menunjukkan amalan demokrasi sebaliknya menafikan hak bersuara wakil rakyat pembangkang dalam hari pertama Persidangan Parlimen Penggal ke-14, yang bermula, hari ini.

Najib antara 222 ahli Parlimen yang mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat pada persidangan pagi tadi bermula 10 pagi dan berakhir pukul 12.30 tadi. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: