Isnin, 23 Julai 2018

'Bagaimana Najib tandatangan afidavit di Putrajaya ketika dia ada di Sabah?'

 
    Bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim membuat laporan polis dan mempersoalkan bagaimana Datuk Seri Najib Razak menandatangani afidavit bertarikh 7 Mei di Putrajaya, dua hari sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 sedangkan bekas perdana menteri itu dilaporkan media berada di Sabah.

Mat Zain membuat laporan bertarikh 27 Jun berhubung perkara itu dan mengemukakannya kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab yang telah membatalkan samannya terhadap Najib 6 Julai lalu.

Mat Zain yang bercakap kepada Malaysiakini mempersoalkan bagaimana Najib boleh menandatangani dan kemudian menghantar afidavit itu kepada peguamnya di pejabatnya sebelum pukul 5 petang pada hari sama sedangkan Najib dilaporkan hanya tiba dari Sabah 7.30 petang itu.

"Mustahil bagi Najib untuk mengesahkan afidavit pada hari itu di Putrajaya kerana dia masih berada di Kota Kinabalu, Sabah.

"Walaupun saya menghormati keputusan mahkamah Jumaat lalu (6 Julai), saya merasakan tidak betul bagi hakim tidak mempertimbangkan laporan polis yang dibuat yang turut dikemukakan kepadanya sebelum keputusan dibuat. Saya perlu kata hakim telah tersilap dalam pertimbangannya.

"Beliau memberi isyarat yang salah. Seakan-akan Najib yang menjadi perdana menteri atau perdana menteri sementara ketika itu boleh buat afidavit palsu dan diterima di mahkamah. Atas sebab ini saya sudah mengarahkan peguam saya untuk membuat rayuan," katanya kepada Malaysiakini.

Afidavit Najib yang menyokong penolakan permohonan disaksikan oleh seorang pesuruhjaya sumpah yang berpusat di Putrajaya.

Laporan polis yang dilihat Malaysiakini menunjukkan Mat Zain melampirkan salinan laporan media Malaysiakini, Sinar Harian, Astro Awani dan Star Online yang menunjukkan gambar Najib berdiri di hadapan kapal terbang Air Asia yang mempunyai slogan BN "Hebatkan Negaraku" di lapangan terbang Kota Kinabalu pada 7 Mei.

Peguam Mat Zain, Adnan Ismail mengemukakan kepada hakim laporan anak guamnya pada 2 Julai.

Hanya pada 6 Julai, Najib berhasil menolak saman yang dikemukakan Mat Zain berhubung sumpah jawatan pada 2009.

Penolakan itu atas alasan saman berkenaan remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah..

Tiada ulasan: