Ahad, 22 Julai 2018

Atlet positif doping, elak ujian takkan ke Sukan Asia

MALAYSIAKINI


Mana-mana atlet yang didapati positif menggunakan bahan terlarang akan digugurkan serta-merta daripada kontinjen negara ke Sukan Asia 2018 di Indonesia bulan depan.

Amaran itu diberikan oleh Ketua Kontinjen Negara Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Katanya ketetapan itu dibuat sebagai salah satu langkah memastikan kontinjen negara mencapai sasaran sifar kes doping pada temasya berkenaan.

Beliau berkata semua atlet wajib menjalani ujian doping yang akan dikendalikan oleh Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) sebelum bertolak ke Jakarta atau Palembang.

Katanya atlet yang mengelak daripada ujian itu selepas diberikan masa yang secukupnya juga akan digugurkan daripada kontinjen negara.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil sukan papan selaju, tinju dan triathlon di Wisma OCM, di Kuala Lumpur hari ini.

Abdul Azim yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata pihaknya tidak mahu kesalahan doping melibatkan atlet negara pada beberapa temasya sebelum ini berulang.

Sebagai rekod, pada Sukan SEA 2017, penerjun Ng Yan Yee didapati positif sibutramine, manakala atlet wushu Tai Cheau Xuen pula gagal ujian doping ketika Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Kegagalan ujian itu menyebabkan pingat emas kedua-dua atlet terbabit ditarik balik.

Malaysia juga berisiko kehilangan pingat gangsa Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia yang berlangsung April lalu, apabila atlet angkat berat negara Mohd Fazrul Azrie Mohdad (kategori bawah 85kg) berada dalam siasatan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) berikutan penemuan unsur bahan terlarang.

Mohd Fazrul sebelum itu disahkan positif Stanozolol pada ujian yang dilakukan oleh Adamas sebelum bertolak ke temasya berkenaan, tetapi keputusan hanya diketahui selepas beliau sampai ke Gold Coast.- Bernama


Tiada ulasan: