Selasa, 31 Julai 2018

‘Apakah hak mereka ke atas kehidupan saya’: Siti Kasim

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

Perlembagaan Malaysia tak sebut Islam Sunnah Wal Jamaah



PETALING JAYA – Peguam kontroversi, Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim, mempertikaikan hak pihak berkuasa jabatan agama Islam dalam menentukan hidup seseorang muslim di Malaysia.

“Kenapa puak-puak ini semua dan majlis agama ingat dia berhak ke atas kehidupan saya, dia berhak untuk memberitahu saya apa untuk dipakai, dia berhak untuk memberitahu saya apa untuk makan, dia berhak untuk memberitahu bagaimana untuk hidup. Siapa dia?”

“Selagi kita tidak bersuara, menentang orang yang mahu menguasai hidup kita di Malaysia ini. Kita ada hak di bawah undang-undang untuk hidup secara aman.

“Bukan ditentukan bukan ditekan oleh kepercayaan sesiapa pun. Saya rasa dalam keadaan sekarang ini, saya sebagai Melayu dan muslim, hak saya memang tiada,” katanya pada program Toleransi Agama dan Malaysia Baharu di Gerakbudaya, di sini, malam tadi.

Program anjuran Projek Dialog itu turut menampilkan Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya; aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ) yang juga peguam, Aidil Khalis; Setiausaha Politik kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang juga seorang peguam, Syahredzan Johan; dan wakil Ahmadiyyah, Abdul Azizam Matjini.

Siti Kasim turut membidas pihak yang cuba memaksa umat Islam menerima Islam yang mereka fahami.

“Sekarang ini kenapa mereka tiba-tiba melakukan demo berkenaan Islam dan Melayu didiskriminasikan. Kenapa?

“Sebab mereka takut dengan kerajaan baru ini. Kerajaan baru akan mengikut the rule of law. ‘And the rule of law recognize the rights of the people’. Ini adalah fakta,” dakwanya.

Beliau berkata, selagi kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap orang yang cuba dan mahu untuk menguasai kehidupan kita, selagi itu beliau rasa tiada toleransi.

Siti Kasim yang juga seorang aktivis liberal itu berkata, beliau mempunyai pandangan sendiri terhadap Islam yang berbeza dengan apa yang diketengahkan Isma dan CLJ.

“Adakah patut saya berdiam diri? Sebagai contohnya, RUU355 disokong habis-habisan oleh kaum-kaum ini. Tetapi mereka tidak menerangkan apa sebenarnya RUU355 ini. Daripada hukuman syariah, kononnya nak memperkasakan Mahkamah Syariah. Memperkasakan? Adakah ini sebenarnya hendak menekan orang Islam atau pun untuk memperkasakan?.

“Kebanyakan orang Melayu tidak tahu apakah impak sebenarnya hukuman RUU355 ini. Dan jangan sebut mengenai kes-kes sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Kes-kes sebelum PRU14 apabila berkenaan agama memang tidak akan berpihak kepada undang-undang.

“Apa-apa keputusan yang ditetapkan oleh mahkamah sebelum PRU14, kami percaya ia sentiasa dipengaruhi mereka yang berkuasa pada ketika itu. Jadi apa-apa keputusan mahkamah sebelum PRU14 adalah tidak mengikut undang-undang,” katanya.

Katanya, dalam Perlembagaan tidak menyebut Islam Sunnah Wal Jamaah, dan kepercayaan terhadap Islam adalah mengikut kehendak serta versi masing-masing, termasuk Ahmadiyyah dan Syiah.

“Setahu kami, undang-undang memang memihak kepada semua rakyat dan apabila kata kebebasan agama, mengenai Islam sebagai contoh, di dalam Perlembagaan kita, tidak ada kata, Islam Sunni, tidak ada kata Islam Sunnah Wal Jamaah, semua jenis Islam adalah diterima oleh Perlembagaan kita,” katanya.

Tiada ulasan: