Ahad, 22 Julai 2018

Amirudin optimis majoriti Sungai Kandis lebih besar

KEADILAN DAILY

0d7055f7-a0c7-4f74-a3f6-e481325fa34d

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yakin KEADILAN akan mengekalkan kerusi DUN Sungai Kandis dengan majoriti lebih besar dalam pilihan raya kecil pada 4 Ogos ini kerana sokongan rakyat yang dilihat tetap kukuh bersama parti ini.

“Saya lihat sentimen rakyat (Selangor) sememangnya lebih kepada parti kita dan kita positif dengan penerimaan ini. Ini PRK kita yang pertama sebagai kerajaan di Malaysia dan saya pasti kita boleh mengekalkan kemenangan kerusi itu,” katanya kepada wartawan selepas penamaan calon di Shah Alam, pagi ini.

Amirudin yang turut memikul amanah sebagai pengarah PRK Sungai Kandis bagi PKR dan HARAAPAN itu, bagaimanapun mengingatkan jentera parti supaya tidak leka dengan kemenangan yang diperoleh dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Calon KEADILAN Mohd Zawawi Ahmad Mughni, yang merupakan pengetua sebuah maahad tahfiz akan dicabar calon BN dan seorang calon bebas dalam PRK DUN Sungai Kandis.

Ia diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Pada PRU14, Shuhaimi mempertahankan kerusi Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan memperoleh majoriti 12,480 undi apabila menewaskan calon BN Datuk Kamaruzzaman Johari, calon PAS Mohd Yusof Abdullah dan calon Parti Rakyat Malaysia Hanafiah Husin.

Tiada ulasan: