Isnin, 30 Julai 2018

AMANAH Perak gesa SPRM siasat projek UiTM Tapah



AMANAH Perak gesa SPRM siasat projek UiTM Tapah

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan berikutan tersebarnya di laman sosial isu pembinaan projek Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah baru-baru ini.

“AMANAH Perak mendesak SPRM menyiasat syarikat tersebut dan pemiliknya kerana ianya jelas membabitkan kepentingan awam dan bagi kami walaupun pengkurnian projek ini sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) tidak bermakna ianya tidak boleh diperhalusi demi kepentingan awam,” ujar Setiausaha Salman Salleh dalam kenyataannya.

Menurut Salman lagi, difahamkan kos pembinaannya bernilai RM285juta dan kemudiannya syarikat turut diberikan konsesi selama 23 tahun bagi menyelenggara dengan bayaran sebanyak RM57 Juta setahun sedangkan status syarikat tersebut diragui sebagai istilah ‘Syarikat Ali Baba’.

Katanya, tersebar juga nama syarikat tersebut malah pemiliknya juga seorang Ahli Parlimen di Negeri Perak dan SPRM wajar meneliti status syarikat tersebut dan kewajaran syarikat tersebut dikurniakan projek itu malah menyelenggaranya dalam masa yang sama.

Sebagai rekod pada Sabtu Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, menyifatkan dakwaan bahawa syarikat miliknya tidak layak memperoleh projek pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah seperti tuduhan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, adalah isu lama yang diulang sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sehingga sekarang.

Beliau berkata, dakwaan syarikat miliknya mengambil untung atas angin dan menjalankan perniagaan secara Ali Baba menerusi projek itu lebih bersifat mendapat laba politik kerana sehingga kini Rafizi tidak membuat laporan terhadap pihak berkuasa, termasuk polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tajuddin mengulas kenyataan Rafizi yang pernah dikeluarkan sebelum PRU-13 dan dikeluarkan semula mendakwa Tajuddin menerima anugerah konsesi RM1.3 bilion untuk membina UiTM Tapah, walaupun syarikat miliknya, Detik Utuh Sdn Bhd, bukan syarikat pembinaan yang aktif dan mempunyai rekod prestasi yang baik.

Rafizi dilaporkan berkata, merujuk kepada Bursa Malaysia, projek itu dimiliki secara bersama oleh Crest Builder Holdings Berhad yang memiliki 51 peratus ekuiti manakala Detik Utuh Sdn Bhd sebanyak 49 peratus melalui syarikat pegangan khas bernama UniTapah Sdn Bhd.

Beliau mendakwa kos pembinaan UiTM Tapah hanya RM285 juta tetapi Unitapah diberikan konsesi selama 23 tahun untuk membina dan menyenggara kemudahan universiti itu dengan kontrak berjumlah RM1.3 bilion.

Rafizi mendakwa Detik Utuh Sdn Bhd adalah sebuah syarikat Ali Baba yang hanya mendapat keuntungan atas angin dengan menggunakan Crest Builder Holdings Berhad untuk mengusahakan sepenuhnya pembinaan dan penyenggaraan UiTM Tapah, dan pada masa sama, kosnya melambung sehingga lima kali ganda akibat pemberian konsesi yang menguntungkan Tajuddin.

Sebaliknya dinafikan Tajuddin dengan menjelaskan menerusi kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) berikutan kekangan kewangan kerajaan ketika itu,syarikat terbabit terpaksa menanggung risiko lebih tinggi iaitu perlu mengeluarkan modal terlebih dahulu, termasuk mendapatkan pinjaman daripada bank serta menanggung kos faedah tinggi lebih 20 tahun.

Sehubungan itu, beliau mencabar Rafizi untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat unsur rasuah atau penyelewengan dalam projek berkenaan selain meminta Naib Presiden PKR itu bersedia menerima tindakan undang-undang jika isu itu terus dibangkitkan.

Tiada ulasan: