Isnin, 23 Julai 2018

Ahli Pas perlu patuh arahan tolak calon PH

Shawaliah Hadir
Ahmad Dusuki Abd Rani foto HAZROL ZAINAL, 19 APRIL 2018
Ahmad Dusuki Abd Rani foto HAZROL ZAINAL

SHAH ALAM – Semua ahli Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis perlu akur arahan parti menolak Pakatan Harapan, kata Ahli Jawatankuasa Pas Selangor, Ahmad Dusuki Abd Rani. 

Menurutnya, ia selaras dengan kenyataan Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan baru-baru ini bahawa parti itu mahu gabungan itu tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 4 Ogos ini. 

“Kita mengarahkan ahli Pas keluar mengundi, tetapi kita sebut kena dengar dan ikut arahan parti dan pimpinan.

“Setakat ini arahan parti adalah menolak Pakatan Harapan seperti mana kenyataan yang dikeluarkan oleh ketua penerangan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai arahan siapa yang sepatutnya dipatuhi oleh ahli Pas, sama ada Nasruddin yang mahu PH ditewaskan atau Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan yang menggesa agar anggota parti membuat pilihan untuk kepentingan Islam-Melayu pada pilihan raya kecil kali ini. 

Ahmad Dusuki yang juga anggota Perhubungan Pas Selangor dalam pada itu tidak menjawab secara langsung soalan adakah ia bermakna arahan pimpinan parti untuk memangkah kertas undi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam, sebaliknya berkata, mereka mempunyai pilihan dalam masa yang sama perlu patuh.

“Tak semestinya, pengundi ada pilihan. Ahli Pas boleh berkecuali, banyak lagi pilihan yang kita ada. 

“Jemaah yang akan menentukan dan dia dah ada dalam arahan jemaah, jadi kita minta ahli mengikut arahan jemaah,” ujarnya. 

Terdahulu Nasruddin menggunakan slogan ‘Asal Bukan Pakatan Harapan – ABAH’ menerusi akaun Facebooknya. 

Kata bekas Ahli Parlimen Temerloh itu, pengundi Sungai Kandis mempunyai ‘1,001 sebab’ sebab untuk menolak gabungan tersebut.

Walaubagaimanapun, calon gabungan itu yang menggunakan tiket PKR, Zawawi Ahmad Mughni hari ini menyuarakan keyakinannya bahawa semua ahli Pas di DUN tersebut akan mengundinya.

PRK Sungai Kandis menyaksikan pertandingan tiga penjuru yang mana kedua-dua calon BN dan PKR adalah Islam Melayu kecuali calon Bebas. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: