Selasa, 17 Julai 2018

Agong sokong pemansuhan GST kerajaan

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menyambut baik pendekatan kerajaan dalam menegakkan ketelusan, terutamanya dengan mendedahkan kedudukan kewangan negara yang sebenar, mengkaji semula perbelanjaan, kos projek dan mengurus kewangan secara berhemat.

Baginda turut menyokong tindakan kerajaan memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), menstabilkan harga minyak dan memberikan bantuan sara hidup kepada golongan sasaran yang diharap dapat meringankan beban rakyat.

“Pada masa sama, beta menghargai sumbangan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan umur yang disalurkan kepada dana Tabung Harapan sebagai tanda prihatin terhadap negara,” titah baginda semasa berucap merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 24 Mei lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih tampuk pemerintahan negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas, mendedahkan kedudukan hutang negara mencecah RM1.08 trilion atau 80.3 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat 31 Dis 2017.

Ekoran itu, kerajaan memperkenalkan langkah-langkah mengurangkan perbelanjaan sejajar dengan kedudukan sebenar kewangan negara termasuk mengkaji semula pelaksanaan serta kos projek tertentu.

Selain itu kerajaan PH juga telah melaksanakan GST sifar dan cukai itu akan dihapuskan seperti yang dijanjikan dalam manifestonya serta digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Dalam titah ucapan baginda, Sultan Muhammad V turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan kepimpinan yang dipilih menerajui pentadbiran negara serta seluruh anggota Parlimen yang terpilih pada PRU lepas.

“Beta percaya Ahli-ahli Yang Berhormat akan mengambil bahagian dalam perbahasan yang sihat, matang, dapat merangsang dinamik berfikir, bukan untuk mencari pihak yang benar tetapi untuk menemukan apa yang baik lagi benar, memberi cadangan, teguran dengan penuh berhemah dan bijaksana, penuh kesopanan bertatasusila, supaya institusi Parlimen terus dihormati, dipandang tinggi oleh rakyat dan dunia luar,” titah baginda.

Baginda turut meminta semua pihak akur dan berlapang dada, tidak emosional, tidak mewarnai pemikiran bermodal fitnah dan sentimen melulu, sempit serta tertutup.

“Beta berharap semua pihak hendaklah berusaha melakukan penjernihan yang ikhlas dan sungguh-sungguh bagi mewujudkan perpaduan yang tulen lagi murni. Mencari titik persamaan bukan perbezaan dengan bekerjasama, untuk kesejahteraan rakyat dan survival negara,” titah baginda.

Baginda juga berharap semua kejayaan, pencapaian serta pengiktirafan dalam pelbagai bidang yang dicapai negara sebelum ini dapat dipertingkat.

Bagi mencapai matlamat itu, baginda menyarankan agar kerajaan, pihak swasta dan rakyat terus bekerjasama dalam usaha menyusun masyarakat, terutama memperbaiki kedudukan ekonomi rakyat yang masih terpinggir.

“Pembelaan terhadap ekonomi rakyat yang terpinggir tidak harus dilihat sebagai dasar diskriminasi perkauman, tetapi sebagai usaha menebus ketidakadilan sosial yang telah diwarisi sekian lama,” titah baginda.

Bertitah di hadapan anggota-anggota Parlimen yang telah mengangkat sumpah semalam, baginda turut menyentuh cabaran-cabaran yang mendepani rakyat dan negara seperti ekonomi global, konflik politik, krisis kemanusiaan pada peringkat antarabangsa dan ancaman fahaman radikal serta era Revolusi Perindustrian 4.0.

“Justeru, beta mengalu-alukan sebarang inisiatif melalui penggubalan dasar, strategi dan kerangka perundangan untuk mendepaninya. Beta berharap faedah yang diperoleh bukan hanya aspek ekonomi tetapi meliputi aspek sosial dan lain-lain,” baginda bertitah.

Dalam pada itu, titah baginda lagi kepatuhan kepada ajaran agama dan nilai-nilai murni tidak harus diabaikan dan semua pihak hendaklah lebih serius menangani gejala sosial dan elemen-elemen negatif yang boleh merosakkan masyarakat dan negara.

“Dalam hal ini, semua lapisan masyarakat, organisasi kerajaan, badan bukan kerajaan dan golongan ilmuan perlu duduk semeja untuk mencari penyelesaian atas masalah-masalah berbangkit,” titah baginda.

Baginda turut menyeru agar perpaduan serta keharmonian dalam kalangan rakyat terus dipelihara dan diperkukuh serta elemen-elemen negatif dan tindak-tanduk yang mengganggu-gugat kesepaduan perlu dibanteras dan menghentikan ungkitan terhadap isu-isu sensitif antara kaum.– Bernama

Tiada ulasan: