Khamis, 19 Julai 2018

10 janji 100 hari PH: 2 dilaksana, 6 sedang ditunaikan, 2 belum mula – Dr M

THE MALAYSIAN TIMES
 

KUALA LUMPUR: Kerajaan berpegang kepada janjinya yang terkandung dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 dan komited untuk merealisasikannya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau bagaimanapun berkata tumpuan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan sekadar melaksanakan janji-janji berkenaan sahaja malah usaha turut dibuat untuk memperbaiki semula pentadbiran kerajaan.

“Dalam masa 100 hari ini juga banyak kerja yang perlu dilaksanakan kerajaan. Yang diutamakan ialah tindakan membersihkan kerajaan daripada kerosakan hasil daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa yang melanda jentera kerajaan terdahulu,” kata Dr Mahathir pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, usaha ini dibuat antaranya menerusi tindakan undang-undang terhadap jenayah yang dikesan dalam kerajaan, usaha mengesan dan membawa balik wang milik kerajaan yang hilang, menyusun semula jabatan dan seumpanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata jabatan dan agensi kerajaan juga sedang meneliti mekanisme pelaksanaan janji-janji itu supaya ia dapat dilaksanakan secara teratur dan mengikut undang-undang.

Merujuk kepada 10 janji 100 Hari yang dibuat PH menjelang PRU14, Dr Mahathir berkata usaha melaksanakannya telah dibuat tetapi hasilnya tidak semua boleh dicapai dalam 100 hari bagi memastikan janji-janji itu dapat dilaksana dengan teratur dan mengikut undang-undang.

Katanya, selepas 70 hari PH membentuk kerajaan baharu sejak Mei lepas, dua daripada 10 janji itu telah dilaksana, enam lagi dalam proses pelaksanaan manakala dua lagi belum dilaksana.

“Kerajaan komited untuk realisasikan kesemua janji itu atas dasar accountability kami kepada rakyat,” tegas Dr Mahathir.

Contohnya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang melihat untuk melaksanakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk golongan suri rumah.

Janji yang tidak melibatkan kos juga telah dilaksana seperti penghapusan senarai hitam melibatkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata beliau.

Tiada ulasan: