Sabtu, 16 Jun 2018

Wee Ka Siong berganding dengan Chong Sin Woon rebut dua jawatan utama MCA

Wee Ka Siong berganding dengan Chong Sin Woon rebut dua jawatan utama MCA
Timbalan presiden MCA Wee Ka Siong mungkin bergandingan dengan ketua pemuda parti itu Chong Sin Woon bagi merebut dua jawtaan tertinggi parti. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
TIMBALAN presiden MCA Wee Ka Siong dan ketua pemuda Chong Sin Woon berkemungkinan akan bergandingan dan bertanding untuk dua jawatan utama dalam parti itu pada pemilihan akan datang.

Namun mereka mungkin berdepan dengan cabaran sikap tidak peduli dan perbezaan pendapat berikutan prestasi buruk parti pada Pilihan Raya Umum ke 14 serta rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli MCA.

Wee yang merupakan satu-satunya ahli Parlimen dalam parti itu, mengumumkan hasratnya untuk bertanding bagi jawatan presiden namun ia masih belum mengumumkan pasangannya.

Chong yang merupakan ketua Pemuda MCA, adalah timbalan menteri pendidikan pada penggal terakhirnya dan bertanding di kerusi Parlimen Seremban namun ditewaskan oleh Loke Siew Fook dari DAP.

MCA ditewaskan pada pilihan raya 9 Mei, hanya memenangi satu daripada 39 kerusi parlimen yang ditandingi. Presidennya Liow Tiong Lai sejurus selepas kekalahan itu berkata beliau tidak akan bertanding pemilihan semula parti tahun ini.

Sehingga kini, selain Wee tiada siapa yang tampil untuk mencabar jawatan presiden dan pihak parti sendiri percaya tidak ramai yang akan bertanding untuk  jawatan itu.

Pemimpin akar umbi MCA Klang memberitahu The Malaysian Insight bahawa naib presiden MCA sekarang Chew Mei Fun dan Hou Kok Chung terlalu banyak masalah untuk menjadi pemimpin pembangkang yang berkesan.

"Chew tewas kepada Tony Pua pada 2008, beliau sekali lagi tewas pada 9 Mei di Raub, rakyat sudah menolak beliau. Waalupun Hou mempunyai imej ilmiah, beliau juga turut kalah pada pilihan raya.
Prestasinya sebagai timbalan menteri pengajian tinggi sebelum ini hanya biasa-biasa saja, beliau juga jarang mengulas tentang isu semasa," menurut sumber berkenaan.

Menurutnya, ahli akar umbi di seluruh negara lebih memilih gandingan Wee-Chong kerana mereka lebih lantang berbanding pemimpin tertinggi lain.

Kedua-dua mereka diasah dan dinaikkan ke dalam kepimpinan parti oleh bekas presiden MCA Ong Tee Keat.

Wee, 49 dari Melaka memulakan kerjaya politiknya dalam MCA pada 1992. Beliau mula mencipta nama selepas Ong melantiknya sebagai ketua biro pendidikan Pemuda MCA.

Sejak 2008, beliau memegang jawatan sebagai timbalan menteri pendidikan, kemudian menteri di jabatan perdana menteri yang menguruskan usahawan kecil dan sederhana dan hal ehwal kampung baru Cina di bawah pentadbiran Najib Razak.

Beliau menjadi ahli Parlimen Ayer Hitam sejak 2004.

Chong, 43, berasal dari Negeri Sembilan. Beliau memulakan kerjaya politik pada 2001 sebagai pembantu khas Ong ketika bekas presiden MCA itu timbalan menteri belia dan sukan.

Beliau juga bekerja untuk perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi dan merupakan panel Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang sudah dibubarkan, yang berfungsi sebagai unit propaganda kerajaan.

Beliau dilantik sebagai senator dua kali, pada 2014 dan 2017, dan berkhidmat sebagai timbalan menteri pendidikan II di bawah pentadbiran Najib Razak.

Chong memenangi jawatan ketua Pemuda MCA pada 2013 dengan 93 undi.

Tiada ulasan: