Selasa, 19 Jun 2018

Untuk selamatkan Umno, Khairy harus ingat siapa dirinya dahulu

THE MALAYSIAN INSIGHT
Untuk selamatkan Umno, Khairy harus ingat siapa dirinya dahulu
Khairy Jamaluddin, salah seorang calon presiden Umno perlu memecahkan acuan lama dalam parti itu, sesuatu yang bukan mudah. – Gambar fail The Malaysian Insight,
 
LEBIH kurang 15 tahun lalu, ketika Khairy Jamaluddin memberitahu kawan-kawan rapatnya bahawa beliau mahu menyertai Umno, ada suara bantahan yang kuat.

Mereka bimbang selepas suatu waktu, daripada membetulkan parti itu dari dalam, beliau akan lupa akan dirinya sendiri; apa yang pernah beliau pegang dan tidak lagi mendengar suara-suara yang waras di sekelilingnya.

Rakan-rakannya khuatir beliau akan ditelan oleh seekor gergasi bernama Umno. Mereka risau beliau akan jadi seorang yang lain, yang sama sekali tidak lagi mereka kenali dan bukan lagi seorang anak muda yang memainkan peranan besar merangka agenda pembaharuan Abdullah Ahmad Badawi, agenda yang memberikan mandat terbesar kepada Abdullah dalam sejarah pilihan raya Malaysia.
Ramalan mereka tepat. Khairy menjadi Umno.

Kalau Khairy mahu mencuba membetulkan Umno dan mendapatkan semula sokongan rakyat Malaysia, beliau terpaksa mengikis sifat Umno yang ada pada dirinya.

Beliau harus ingat semula siapa dirinya sebelum beliau menyertai Umno dan berusaha keras meyakinkan ahli-ahli parti itu bahawa beliau tahu apa yang perlu dilakukan untuk menjadikan Umno relevan dengan rakyat Malaysia.

Khairy adalah antara tujuh individu yang merebut peluang untuk menerajui Umno dan memastikan parti itu tidak terjerumus jadi langsung tidak relevan selepas kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bukan mudah baginya untuk menang jawatan presiden pada 30 Jun ini kerana ketua-ketua bahagian atau tulang belakang Umno tidak pernah sukakan Khairy. Beliau dilihat terlalu bijak, terlalu angkuh, sangat yakin diri dan terlalu muda. Dalam erti kata, beliau bukan salah seorang daripada mereka.

Ketua-ketua bahagian – yang boleh mempengaruhi undi ahli-ahli di bawah mereka – cenderung memilih antara Ahmad Zahid Hamidi atau Tengku Razaleigh Hamzah.

Memang mudah untuk mengikut rentak yang diharapkan daripada seorang pemimpin Umno.

Penyokongnya tentu mahu beliau memenangi hati dan jiwa hulubalang Umno itu. Mereka akan memujuknya supaya tumpukan perhatian menang dulu pemilihan parti dan selepas itu barulah berusaha mendapatkan sokongan rakyat Malaysia.

Bukan begitu caranya.
Ahmad Zahid Hamidi,seorang lagi calon presiden dilihat akan jadi pilihan ketua bahagian berbanding Khairy Jamaluddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2018.
Ahmad Zahid Hamidi,seorang lagi calon presiden dilihat akan 
jadi pilihan ketua bahagian berbanding Khairy Jamaluddin. – 
Gambar fail The Malaysian Insight,
Pemilihan Umno ini adalah tentang memecahkan acuan lama itu.

Khairy harus sedar bahawa ini adalah masanya untuk melontarkan ideanya tentang perubahan dan pembaharuan kepada ahli dan penyokong Umno – kebanyakannya yang tidak mengundi atau mengundi Pakatan Harapan dalam PRU14.

Khairy mesti akur bahawa pemilihan parti ini juga peluang untuknya membina imejnya sendiri pada mata rakyat Malaysia.

Ia tidak cukup sekadar perubahan luaran. Sekilas ikan di air, mereka tahu jantan betinanya, dan itu sebabnya Najib Razak berehat di hotel St. Regis di Langkawi, dan bukannya mengetuai kerajaan yang memerintah hari ini.

Sesetengah penyokong Khairy sudah pusing dunia untuk memahami cabaran yang dihadapi oleh beliau dan Umno. Mereka nampak persamaan cabaran yang dihadapi oleh Parti Buruh di Britain pada akhir dekad 1970-an.

Parti Buruh mengambil masa 18 tahun sebelum merebut semula kuasa. Apa yang lebih penting, parti yang dapat kuasa semula itu diketuai oleh Tony Blair yang ketika itu berumur 43 tahun.

Tetapi hakikatnya Blair tidak sama seperti pemimpin Buruh yang sebelumnya. Pemikirannya tentang ekonomi pasaran bebas dan keadilan sosial dekat dengan hati pengundi.

Di bawah kepimpinan Blair, parti Buruh yang baru berjaya beralih duduk di garis tengah dalam politik Britain, menarik sokongan lebih ramai wanita, anak muda dan kelas menengah.

Untuk menentukan masa depan partinya, beliau keluar daripada masa lalu.

Itulah juga yang perlu dilakukan oleh Khairy pada pemilihan Umno ini.

Sebagai permulaan, beliau harus ingat kembali siapa dirinya sebelum menyertai Umno dulu.

Tiada ulasan: