Sabtu, 30 Jun 2018

UMNO BTR tak maaf Najib jika tuduhan skandal benar

Mohd Zaini Samsu Hadi
Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Datuk Mokhtar berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bandar Tun Razak di Laman Tun Razak, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 30 JUN 2018.
Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Datuk Mokhtar berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bandar Tun Razak di Laman Tun Razak, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
 

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Bandar Tun Razak tidak akan memaafkan bekas presiden parti itu sekiranya segala tuduhan melibatkan pelbagai skandal ke atas dirinya ketika ini didapati benar.

Ketua UMNO bahagiannya, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, Datuk Seri Najib Razak perlu bertanggungjawab terhadap kekalahan yang dialami oleh parti itu kerana ia mempunyai kaitan dengannya.

“Dengan tidak menindakkan undang-undang, sekiranya benar apa yang dilakukan oleh bekas presiden itu, saya fikir UMNO Bahagian Bandar Tun Razak tidak akan membenarkan perkara ini.

“Apa yang dilakukan bukan sahaja menyebabkan Barisan Nasional (BN) hilang kuasa dan ia telah memberi kesan kepada jentera UMNO di peringkat negeri dan bahagian,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Bahagian UMNO Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Bagaimanapun Rizalman berkata, sekiranya tuduhan tersebut tidak benar, Najib perlu menggunakan saluran perundangan untuk membersihkan namanya dan menggesa perdana menteri meminta maaf serta bertanggungjawab kerana telah merosakkan imej presiden UMNO.

Ia disebabkan presiden UMNO telah menjadi bahan dihinaan dan telah tumbang akibat daripada tuduhan yang dibuat.

Dalam pada itu, Rizalman turut mengajak ahli-ahli UMNO supaya berani menegur kerajaan baharu yang ada pada hari ini.

Katanya, mereka perlu bersuara untuk menceritakan kepada rakyat tentang keburukan yang dilakukan oleh kerajaan sekiranya ada.

“Kalau Rafizi dahulu mengakui bahawa tugasnya adalah menghasut rakyat supaya jangan undi Barisan Nasional, jadi orang UMNO juga kena melakukan perkara sama.

“Kalau ada keburukan dan salah laku kita kena berani bercakap, berani tegur. Kalau perlu maki kita maki, sebab kita dah jadi pembangkang. Kalau pembangkang bahasanya sama juga saya fikir tidak ada bezanya daripada segi pendekatan. Tapi tidak bermakna kurang ajar,” ujarnya.

Tambah beliau, UMNO perlu menjadi pembangkang yang konstruktif dengan memberi teguran yang membina dan memberi manfaat kepada rakyat.

Ini kerana katanya, jika UMNO dan BN tidak wujud satu ketika nanti tidak akan ada pihak yang akan menegur silap laku yang dilakukan kerajaan. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: