Khamis, 21 Jun 2018

Tuan Penasihat dua puluh persen!

Manzaidi Mohd Amin
Sudah ada amaran awal mengenai nasib bakal menimpa UMNO/BN, tetapi kerana percaya kepada Penasihat, perancangan tidak masuk akal diteruskan juga.
Sudah ada amaran awal mengenai nasib bakal menimpa UMNO/BN, tetapi kerana percaya kepada Penasihat, perancangan tidak masuk akal diteruskan juga.


PENASIHAT dibayar upah RM200,000 sebulan? Wow!… kaya. Setahun menasihat paling busuk dapat RM1.2 juta. Kalau tiga tahun… kalau lima tahun.. memang kaya. Kerja pun senang. Hanya menasihat.

Patutlah Tuan Penasihat suka bekerja dengan Tuan Sadiq Sigaraga. Setiap projek yang dinasihatinya akan diberi komisen atau elaun sebanyak 20 persen.

Tapi sejauh mana Tuan Penasihat menasihati tuannya? Dan sejauhmana pula Tuan Sadiq Sigaraga mendapat tuah atau keuntungan daripada nasihat itu?

Kalau tengok pada pengakhiran filem Tiga Abdul, ianya hampir sama dengan drama realiti yang berlaku kepada seorang pemimpin politik UMNO dalam negara. Tuan Sadiq Sigaraga lingkup, Tuan Perdana Menteri pun lingkup.

Yang untung ialah Tuan Penasihat. Duit dapat juta-juta ringgit, manakala Tuannya kalah teruk dalam pertarungan. Pertarungan yang diatur oleh Tuan Penasihat.

Kadang-kadang saya terfikir, seseorang Perdana Menteri rupanya memperuntukan sejumlah besar wang untuk dibayar kepada penasihatnya. Apa butir yang dinasihat tu hanya Tuan Perdana Menteri dengan Tuan Penasihat sahaja yang tahu.

Dan sebagai rakyat pula, saya beranggapan, apa saja perancangan yang dilaksanakan oleh Tuan Perdana Menteri, kebarangkalian adalah atas nasihat dari Tuan Penasihatnya.

Kalau bukan itu yang dinasihati oleh Tuan Penasihat, apa lagi peranannya sebagai penasihat kepada Perdana Menteri? Yang upahnya dibayar sehingga RM200,000 sebulan?

Kalau jumlah yang dibayar itu agak besar, mungkin besar jugalah nasihat yang disampaikan Tuan Penasihat kepada Tuan Perdana Menteri. Kalau tidak, masakan Tuan Perdana Menteri boleh lingkup dalam sekelip mata.

Melihat kronologi sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, Tuan Perdana Menteri sentiasa kelihatan ceria, bersemangat dan berkeyakinan sepanjang masa. Mungkin ia didorong oleh nasihat yang direncanakan oleh Tuan Penasihat.

Entah apa yang dinasihati oleh Tuan Penasihat sehinggakan Tuan Perdana Menteri menolak laporan dari SB (Polis Cawangan Khas) dan MIO (Perisikan Tentera) yang mengatakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bakal kehilangan banyak negeri, termasuk Putrajaya.

Walhal, anggota SB dan MIO hanya makan gaji ribuan ringgit sahaja. Bukan ratusan ribu ringgit upah yang diterima oleh Tuan Penasihat setiap bulan.

Biasalah, untuk meyakinkan Tuan Perdana Menteri akan nasihatnya, Tuan Penasihat akan memikirkan point-point yang boleh membuatkan Tuan Perdana Menteri suka dengan cadangan dan perancangannya.

Sudah tentu, Tuan Penasihat menggunakan perancangan ikut logik akal, yang tidak boleh disanggah oleh Tuan Presiden jika mendengar pembentangan cadangan dan pendapat darinya.

Tuan Perdana Menteri pula, apabila mendengar cadangan logik akal dari Tuan Penasihat, terus bersetuju menerimanya, tanpa mengambil masa untuk mengkaji dan menilai semula setiap idea itu.

Iya, kenapa nak perlu dikaji dan diteliti lagi. Itu kan tugas Tuan Penasihat. Buat apa lantiknya sebagai Tuan Penasihat dan bayar mahal-mahal kalau semua cadangan dan ideanya perlu dikaji lagi?

Dengan angkuh Tuan Perdana Menteri memberitahu kepada Jemaah Menterinya supaya mempercayai sahaja perancangan Tuan Penasihat kerana setiap perancangan itu sudah tentu disertakan dengan hasil kajian yang mantap dan berfakta.

Melihat kepada perancangan yang dikemukakan Tuan Penasihat, tanpa banyak cakap, Tuan Perdana Menteri terus bersetuju dan minta dia dilaksanakan segera, kerana tarikh pilihan raya umum sudah tidak lama lagi.

Dan, UMNO/BN mesti kena menang dua per tiga kerusi Parlimen untuk meneruskan pembentukan kerajaan berslogankan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, dan “Hebatkan Negaraku”.

Malangnya, segala perancangan Tuan Penasihat tidak berjaya. Bukan sahaja pembangkang mengekalkan Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor, lima negeri yang selama ini selesa bawah UMNO/BN pun turut dirampas oleh Pakatan Harapan.

Jadah apa sampai Johor pun boleh dirampas oleh Pakatan Harapan? Selain Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Kedah dan Pusat Pentadbiran Putrajaya dikongsi antara DAP, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN)?

Perancangan apa yang telah dirangka dan dirancang oleh Tuan Penasihat sehingga UMNO/BN kalah teruk dan menjadi titik hitam dalam sejarah penubuhan parti keramat Melayu itu sejak tahun 1946.

Selepas UMNO/BN menerima malu dengan kekalahan itu, baharulah Tuan Perdana Menteri sedar, selama ini segala idea dan perancangan Tuan Penasihat adalah salah dan lebih kepada syok sendiri.

Realiti cerita ini mengingatkan saya akan dialog Tuan Sadiq Sigaraga ketika berdepan dengan dua menantunya (Abdul Wahab dan Abdul Wahib) yang dalam keadaan marah apabila terkena dengan undang-undang yang dinamakan ‘Family Planning’.

Dialognya seperti berikut;

Tuan Sadiq Sigaraga: Apa bising bising ni haa?

Abdul Wahab: Ayahanda! Undang-undang yang ayahanda bikin ni tak patut sama sekali tau!!

Tuan Sadiq Sigaraga: Eh.. jadi anakanda berdua marahlah?

Abdul Wahab: Bukan kata anakanda berdua, sesiapa pun dalam dunia ni pasti marah!

Tuan Sadiq Sigaraga: Jadi marah yaa…?

Abdul Wahib: Ya memang kami marah! Tua kutuk tak sedar diri!!

Abdul Wahab/Abdul Wahib: Nak Mamposs!

Tuan Sadiq Sigaraga: Ha ha… jadi marah haa? Oleh kerana anakanda berdua marah anakanda akan dijual dan semua harta benda akan dirampas! he hehehe… Tuan Penasihat!

Tuan Penasihat: Dua puluh persen! – MalaysiaGazette
 
 

Tiada ulasan: