Jumaat, 29 Jun 2018

Tidak mahu jadi mangsa politik lagi, FGV Holdings dijenama semula

Norlaile Abd Rahman
Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Wira Azhar Abdul Hamid bercakap pada sidang media mengenai Laporan Bersepadu Tahunan 2017 FGV di Menara FELDA, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 JUN 2018
Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Wira Azhar Abdul Hamid bercakap pada sidang media mengenai Laporan Bersepadu Tahunan 2017 FGV di Menara FELDA, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL,
 

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Bhd. menjalani proses penjenamaan semula kepada FGV Holdings Bhd. selepas 99 peratus pemegang saham memberikan persetujuan dalam satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) hari ini.

Pengerusinya, Datuk Azhar Abd Hamid berkata, selama ini terlalu banyak kekeliruan yang timbul kerana syarikat perladangan kelapa sawit terbesar Malaysia itu sering disalah ertikan dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sedangkan kedua-duanya adalah dua entiti berbeza.

Jadi, bagi menampilkan imej sebuah syarikat tersenarai komersial sepenuhnya, langkah penjenamaan semula terpaksa diambil termasuk berpindah keluar dari Menara Felda yang dihuninya ketika ini ke sebuah bangunan lain yang akan tertera nama FGV Holdings sahaja.

Katanya, disebabkan kekeliruan tersebut ia telah membuatkan FGV sering menjadi mangsa politik sehingga menyebabkan nilainya merosot walaupun mempunyai potensi dan prestasi positif untuk memberi pulangan yang lebih tinggi kepada pemegang saham.

“Bukan tidak mahu dikaitkan dengan Felda tetapi kami adalah sebuah syarikat tersenarai yang sepenuhnya komersial jadi kami perlu berlaku adil kepada para semua pemegang saham.

 “Terlalu banyak kekeliruan bukan sahaja dari orang awam malah media juga ada yang terkeliru.

“Contohnya semasa kes pembelian hotel di London oleh Felda Investment Corporation (FIC), saham kami turut terjejas disebabkan isu tersebut sedangkan hotel berkenaan bukan milik kami.

“Felda hanya memegang 33 peratus saham di dalam FGV dan jika mengikut terma teknikal ia bermakna syarikat bersekutu jadi apa sahaja berita mengenai kami, harapnya berita positif, Felda akan mendapat manfaatnya (dividen).

“Tetapi apa sahaja yang berlaku di dalam Felda kami sama ada positif atau negatif, kami tidak terkesan kerana kami berdua bukan entiti yang sama.

“Kami cuma ada kaitan kerana Felda ada 33 peratus saham di dalam FGV dan Felda juga merupakan promoter semasa proses Tawaran Awam Pemulaan (IPO) dilakukan di samping perjanjian pajakan tanah di antara kami dengan agensi itu selama ini. Itu sahaja,” katanya semasa sidang media selepas mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat agung luar biasa syarikat itu di sini hari ini.

Tambah Azhar, selain Felda, Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Haji turut memiliki pegangan di dalam FGV.

Ketika ditanya mengenai kos penjenamaan semula, Azhar berkata, mereka masih lagi mengumpulkan maklumat tetapi menjangkakan kosnya tidak begitu signifikan.

Katanya, semua anak-anak syarikatnya juga akan dijenamakan semula dengan memberi cerminan lebih jelas terhadap imej FGV.

“Selama ini ramai yang tidak tahu, syarikat tersebut adalah anak syarikat FGV atau Felda jadi selepas ini, jenama-jenama mereka akan lebih jelas,” katanya lagi sambil menambah idea tersebut tercetus selepas beliau dilantik sebagai pengerusi FGV sejak September tahun lepas. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: