Khamis, 28 Jun 2018

Tiada tempat untuk Khairy jika Ku Li menang?

Calon presiden Tengku Razaleigh berkata nasib Khairy akan ditentukan di masa akan datang.





KUALA LUMPUR: Calon presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah tidak mahu menjawab sama ada Khairy Jamaluddin akan diberi tempat atau tidak dalam kepimpinan baru Umno

Tengku Razaleigh ditanya apakah nasib Khairy nanti sekiranya beliau memenangi cubaan kedua untuk kerusi presiden pada 30 Jun ini.

“Pandai sangat bertanding. Dia asalnya tidak bertanding. Orang yang bertanding ada risikonya. Ada nasib baik dan ada juga nasib tidak baik. Masa depan akan ditentukan oleh masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian di pertemuan bersama wakil Pemuda, Wanita dan Puteri Umno di kediamannya di Ampang hari ini.
Tengku Razaleigh bersaing dengan 4 pencabar lain termasuk Khairy dan Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Ditanya apakah rancangan untuk menyelamatkan sumber parti sekiranya dia diberi kepercayaan untuk memimpin Umno, Tengku Razaleigh berkata dia akan cuba untuk mencairkan harta-harta parti yang sudah dibekukan.

Beliau merujuk kepada kenyataan pemangku presiden Umno semalam yang berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membekukan akaun bank Umno pusat dan Selangor.

Zahid tidak memberitahu apakah sebab pembekuan itu, tetapi percaya sasaran SPRM seterusnya ialah akaun Umno Johor.

Dia berkata tiada jaminan pemimpin-pemimpin Umno tidak akan disiasat badan rasuah itu.

“SPRM boleh lakukan apa sahaja yang ikut undang-undang. Setiap tindakan ada reaksi,” kata Tengku Razaleigh.

“Kita akan cari jalan supaya dapat cairkan pembekuan, supaya apa yang sah sebagai harta parti kita akan dapat balik seberapa cepat untuk diguna dalam perjuangan kita,” katanya.

 LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: