Rabu, 20 Jun 2018

Tiada lagi perlindungan untuk jawatan presiden Umno, kata Khairy

Tiada lagi perlindungan untuk jawatan presiden Umno, kata Khairy
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata amalan menghalang pertandingan jawatan tertinggi parti itu tidak lagi boleh dipraktikkan semasa sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain
 
KHAIRY Jamaluddin Abu Bakar berikrar untuk membuka jawatan presiden Umno untuk dipertandingkan setiap tiga tahun sekiranya beliau dipilih sebagai presiden parti Melayu itu kali ini.

Ketua Pemuda Umno itu berkata, amalan menghalang pertandingan jawatan tertinggi parti itu tidak lagi boleh dipraktikkan kerana tindakan itulah yang menyebabkan Umno kini menjadi pembangkang.

"Kita perlu hormati suara akar umbi dan jika mereka rasa kepemimpinan sedia ada tidak menjalankan tugas dengan baik, barisan ‘nakhoda’ baharu boleh dilantik selepas tiga tahun.

“Usah lagi ada usul dan resolusi supaya presiden dan timbalan presiden atau mana-mana jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan, kononnya atas dasar walak kepada institusi kepemimpinan Umno.

“Atas dasar itulah, lihat sekarang ini di mana kita berada,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau juga akan meminta persetujuan menambah dua lagi kerusi naib presiden khusus untuk wanita dan wakil Umno Sabah.

"Memandangkan kita perlu jaga kedudukan Umno dan Barisan Nasional (BN) di Sabah dan memandangkan kita perlu menghormati asas penubuhan Malaysia, saya cadangkan naib presiden untuk Sabah.

Mengakui cabarannya besar, Khairy berkata Umno sebagai sebuah parti lama perlu melalui perubahan sedemikian.

"Kalau tidak (berubah) hari ini kita tidak akan berubah. Kita mesti ambil buat perubahan. Ini peluang seumur hidup untuk Umno berubah.

“Now or never. Kalau terlepas kita takkan boleh kembali," katanya yang memberi jaminan akan kekal bersama Umno walaupun tewas dalam pemilihan pada 30 Jun depan.

Selain Khairy, turut bertanding jawatan presiden adalah veteran parti Tengku Razaleigh Hamzah dan timbalan presiden, Ahmad Zahid Hamidi.

 LIHAT VIDEO DI SINI
NO. 1
NO. 2 

 

Tiada ulasan: