Jumaat, 29 Jun 2018

Tengku Putra ambil langkah lantang dalam pemilihan Umno

 
   

WAWANCARA | Bekas anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid dikenali sebagai ahli politik Umno yang sering memberikan pandangan kritikal.

Selain terhadap pimpinan partinya, beliau sering mengeluarkan kenyataan yang dilihat kritikal terhadap institusi diraja sehingga mengundang amaran keras daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 2015.

Tengku Putra tidak dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusinya pada PRU-14 yang menyaksikan BN dan Umno mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah Malaysia.

Bagaimanapun, beliau menawar diri untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Pulai pada pemilihan parti yang akan berlangsung esok.

Tengku Putra mewarisi darah politik bapanya Tan Sri Tengku Hamid Jumat yang merupakan pengasas Umno Singapura dan sekaligus menjawat naib presiden Umno Kebangsaan pada tahun 1950-an.

Bapanya, Tengku Hamid juga menjadi menteri Melayu pertama dan timbalan ketua menteri Singapura pertama sebelum kembali ketanah air (Malaya pada waktu itu) untuk menerima tawaran menjadi duta besar ke Jerman, Mesir, Belanda dan Denmark.

Langkah lantang

Tengku Putra yang merupakan anak bongsu, mengimbas bahawa kerjaya politik bapanya bukanlah pencetus utama minatnya dalam menjejaki dunia politik.

“...dalam ingatan saya, beliau adalah duta besar ke luar negara. Saya tidak tahu beliau adalah menteri sehingga saya berumur 15 tahun.

“Itu sebab saya tidak masuk politik walaupun saya berasal daripada keluarga politik,” katanya dalam satu wawancara bersama Malaysiakini.

Lebih menarik dan mungkin ironi, apabila tulisan presiden Umno kelima dan perdana menteri sekarang Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Dilema Melayu menjadi buku yang membuka minda politik Tengku Putra.

“Semasa saya belajar O level dan A level di England, saya bawa Dilema Melayu dalam kapal terbang dan saya baca. Ini memberi panduan saya untuk memimpin Melayu,” katanya.

Semasa mengikuti pengajian universiti di Arkansas State University, beliau telah memohon untuk masuk Bahagian Umno Seputeh tetapi borang permohonannya “hilang” sebanyak dua kali.

Akhirnya pada tahun 1989, beliau berjaya masuk parti melalui bahagian Pulai yang pada ketika itu ketua bahagiannya ialah Tan Sri Mohamed Rahmat, atau dikenali sebagai Tok Mat.

Kini, Tengku Putra mengambil langkah lantang dengan mencabar anak Mohamed Rahmat, ketua bahagian Pulai, Datuk Seri Nur Jazlan Mohamed dalam pemilihan ketua bahagian akan datang.

“Kami ahli bahagian Pulai membayar hutang budi kepada Tok Mat selama 20 tahun menyokong anaknya memimpin bahagian, jasa dia kita kenang... tetapi majoriti kerusi parlimen Pulai telah menurun semenjak empat pilihan raya umum lepas.

“Macam mana beliau (Nur Jazlan) mahu berkhidmat kepada parti jikalau beliau tidak dapat memenangi hati dan minda pengundi yang sudah lali dengan beliau?

“Saya berhasrat untuk memulihkan kegemilangan parti Umno di Pulai, justeru saya menawarkan diri untuk permilihan perwakilan.

"Saya harap dapat menegakkan idea demokrasi. Kalau saya dipilih, alhamdullilah, kalau tidak, saya tetap bersama Umno,” katanya.

Budaya panglima politik

Pada PRU ke-14, penyandang kerusi parlimen Pulai selama tiga penggal Nur Jazlan tumbang kepada timbalan pengerusi kebangsaan AMANAH Salahuddin Ayub dengan penurunan 28,924 undi berbanding ketika memenangi kerusi itu pada PRU sebelumnya.

Johor sebagai kubu BN turut tumbang dengan hanya mendapat lapan kerusi parlimen dan 19 kerusi DUN pada PRU-14 berbanding dengan 21 kerusi parlimen dan 38 kerusi DUN pada PRU-13.

Mengulas pembaharuan parti, Tengku Putra merasakan sistem pemilihan pusat dan bahagian sekarang tidak sempurna dan memberi kelebihan tidak adil kepaya penyandang.

Beliau menjelaskan wakil-wakil cawangan Umno akan menerima satu kertas undi yang mempunyai seramai 200 nama calon bahagian dan pusat.

“Selepas itu, mereka terpaksa bersidang dalam ruang dewan yang kecil dan mendengar ucapan penyandang ketua bahagian selama dua jam. Wakil kemudian akan rasa lapar, letih dan tiada masa untuk memikir calon kegemaran beliau dalam senarai panjang.

“Nanti ada orang akan sumbat 'cai' dan anda akan undi mengikut 'cai' kerana terlalu letih dan lapar,” jelasnya.

Dalam era teknologi, beliau berpendapat e-undi akan menyelesaikan masalah tersebut dan menamatkan sistem panglima politik atau warlord.

"Anda boleh buka e-undi pada jam 8 pagi sampai 5 petang selama sembilan jam. Wakil boleh mengundi melalui log-in dalam telefon pintar dalam keadaan selesa. Mereka boleh google nama calon untuk mengenali pada masa yang sama.

“Ini akan menjimatkan wang dan wakil hanya perlu datang ke persidangan untuk meluluskan bajet, minit mesyuarat dengan formaliti,” katanya.

Dengan cara itu, kata Tengku Putra, budaya panglima politik dapat dihapuskan kerana ketua bahagian tidak mampu mengawal pengalihan undi perwakilan.

Bersaing dengan rakyat

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar semua jawatan tertinggi pusat termasuk setiausaha agung, bendahari dan ketua penerangan perlu dipertandingkan untuk mengehadkan kuasa presiden.

Memberi contoh, Tengku Putra merujuk tindakan  pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden dan penggantungan keanggotaan Datuk Seri Shafie Apdal dalam parti itu pada tahun 2016.

Tindakan itu menyaksikan Muhyiddin mengasaskan BERSATU manakala Shafie menubuhkan WARISAN. Kedua-dua parti berjaya dalam PRU-14 menewaskan Umno pada peringkat persekutuan dan negeri-negeri kecuali di Perlis, Pahang dan Sarawak.

Dalam sistem sekarang, setiausaha agung, bendahari dan ketua penerangan tidak dipertanding dan dilantik oleh presiden.

Menyentuh berhubung amalan politik wang dalam pemilihan parti, Tengku Putra berkata perkara itu seharusnya turut melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sepatutnya jawatankuasa disiplin menangani aduan politik wang, tetapi tiada sebegini. Sekarang kita siasat dan hukum tanpa unsur jenayah dibawa.

“Saya rasa SPRM perlu dibawa masuk dalam pemilihan Umno,” katanya.

Dalam isu kritikan terhadap institusi diraja, beliau menegaskan pandangannya dibuat bagi mempertahankan institusi itu dan demi kebaikan kerabat diraja.

“Tiga tahun lepas, saya menyatakan kerisauan saya jikalau kerabat diraja terjebak dalam politik dan perniagaan, rakyat mungkin ada pandangan yang berbeza.

“Jikalau anda bersaing dengan rakyat dan menjejaskan periuk nasi mereka, ini akan membuka ruang untuk penyalahgunaan kuasa.

"Hari ini kita sudah lihat bagaimana peranan Raja itu dipersoalkan secara terbuka,” katanya yang menegaskan pendiriannya dibuat berdasarkan prinsip “taat setia kepada diraja”.


Tiada ulasan: