Sabtu, 16 Jun 2018

'Tabung Harapan dijangka bantu bayar hutang lebih awal'

 
 
   

Dana itu mungkin sumbang kepada faedah bon 1MDB bernilai RM810.21 juta yang dijadualkan antara September dan November, kata Ketua Ekonomi RHB Research Institute.

Walaupun jumlah yang dikutip oleh tabung amanah, Tabung Harapan Malaysia (THM), agak kecil berbanding jumlah hutang negara yang melebihi RM1 trilion, sumbangan itu mungkin digunakan untuk membayar hutang pada tarikh yang lebih awal.

Hutang negara melebihi RM1 trilion, manakala sumbangan kepada THM sebanyak FRM66.67 juta sehingga 3 perang, 14 Jun.

Ketua Ekonomi RHB Research Institute Sdn Bhd, Peck Boon Soon, berpendapat dana itu mungkin menyumbang kepada faedah bon 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bernilai RM810.21 juta yang dijadualkan antara September dan November tahun ini.

"Walaupun saiz dana agak kecil berbanding jumlah hutang yang besar, saya yakin ia akan dibelanjakan untuk menyelesaikan hutang dan bukan untuk tujuan lain, memandangkan dana masyarakat itu digerakkan atas semangat patriotik sebagai tanda sokongan rakyat kepada kerajaan," katanya kepada Bernama.

Fungsi sebenar THM dikritik sejak pembukannya pada 30 Mei 2018.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa dana masyarakat itu bertujuan mengurangkan hutang negara, dan diwujudkan sebagai respond kepada keprihatinan rakyat terhadap salah urus oleh kerajaan Barisan Nasional.

Peck berkata Malaysia bukanlah negara pertama yang melancarkan dana masyarajat di peringkat kebangsaan kerana Korea Selatan telah memulakan kempen pengumpulan dana yang sama semasa krisis kewangan Asia 1997/98 atau lebih dikenali sebagai krisis IMF (Dana Kewangan Antarabangsa) dalam kalangan penduduk tempatan.

Ditanya sama ada kerajaan sepatutnya menetapkan garis masa atau sasaran mengutip dana itu sebagai panduan jelas untuk rakyat ‘menyelamatkan’ negara, Peck berkata ia hanyalah kempen patriotisme.

"Lebih-lebih lagi, Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah menyebut sebelum ini bahawa tidak ada had sumbangan," katanya, sambil menambah bahawa beliau percaya saiz dana akan terus berkembang seiring waktunya.

Lim dilaporkan berkata bahawa hutang negara berjumlah RM1 trilion pada 31 Dis, 2017, termasuk hutang kerajaan Persekutuan sebanyak RM686.8 bilion ditambah jaminan kerajaan berjumlah RM199.1 bilion untuk membayar bagi pihak entiti yang tidak mampu membayar hutang mereka.

Namun, menteri itu menegaskan bahawa asas-asas ekonomi Malaysia kekal kukuh, sektor kewangan stabil, sektor perbankannya mempunyai modal yang tinggi dan terdapat mudah tunai yang mencukupi dalam pasaran.

Sementara itu, akaun dana masyarakat THM dengan akaun Maybank (A/C 566010626452) akan terus dibuka sehingga kerajaan berjaya mencapai sasaran yang besar.

Bagaimanapun, tiada jumlah tertentu dan garis masa ditetapkan setakat ini.

Lim memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengurus semua sumbangan secara sistematik dan telus, dengan dana yang dikumpul akan dikemas kini di laman web Kementerian Kewangan (KKM) dan platform media sosialnya setiap hari, manakala penyumbang diberikan pengecualian cukai, termasuk syarikat.

Wang yang disumbangkan layak mendapat pengecualian cukai.- Bernama


Tiada ulasan: