Khamis, 21 Jun 2018

Siasat bayaran RM9.5 juta diterima Shafee, gesa kumpulan peguam

THE MALAYSIAN INSIGHT
Siasat bayaran RM9.5 juta diterima Shafee, gesa kumpulan peguam
Penasihat Lawyers fo Liberty N. Surendran berkata isu itu sangat serius, kerana ia melibatkan integriti sistem kehakiman dan hak untuk perbicaraan yang adil terhadap Anwar Ibrahim .– Gambar fail The Malaysian Insight
 
SEKUMPULAN peguam menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyiasat dakwaan pembayaran RM9.5 juta oleh bekas perdana menteri Najib Razak kepada pendakwa raya Muhammad Shafee Abdullah, yang dibuat dua minggu sebelum Mahkamah Rayuan membatalkan pembebasan Anwar Ibrahim yang diperoleh pada 2012.

Penasihat Lawyers fo Liberty N. Surendran berkata walaupun kerajaan baru berkuasa sejak 10 Mei, tiada berita mengenai kes itu.

"Adakah Najib dan Shafee sudah disoal oleh polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak kerajaan PH mengambil alih kuasa? Apakah status siasatan dan adakah peguam negara baru sudah diberi taklimat mengenainya," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tahun lepas, Sarawak Report mendakwa RM9.5 juta yang diterima Shafee pada Februari 2014 hanya dua minggu sebelum Mahkamah Rayuan membatalkan pembebasan Anwar pada 2012.

Laman sesawang pemberi maklumat itu mengatakan wang berkenaan datang daripada akaun bank "yang dikenal pasti sebagai dibiayai oleh wang dicuri oleh perdana menteri daripada anak syarikat 1MDB, SRC, yang meminjam sejumlah RM4 bilion Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) KWAP".

Surendran berkata ini adalah isu sangat serius, kerana ia melibatkan integriti sistem kehakiman dan hak untuk perbicaraan yang adil terhadap Anwar.

"Pendedahan pembayaran mengejutkan ini dibuat pada Jun 2017 oleh laman sesawang pemberi maklumat Sarawak Report. Laporan polis dan SPRM sudah dibuat untuk siasatan.

"Namun, walaupun terdapat keseriusan terhadap perkara ini, tiada tindakan selanjutnya oleh pihak berkuasa yang beroperasi di bawah rejim Barisan Nasional terdahulu."

Beliau berkata Najib sekian lama bergantung kepada kelebihan kuasa kerajaan dan jawatan untuk melindungi dirinya dan rakan-rakan daripada sebarang penyiasatan dan pendakwaan.

"Tidak perlu berdiam diri lagi tentang perkara ini. Kami menggesa SPRM dan polis bergerak pantas dalam siasatan, dan segera memaklumkan orang ramai tentang status atau hasil siasatan itu"

Tiada ulasan: