Ahad, 17 Jun 2018

'Saya tekankan kepada Ku Li Umno perlu disatukan lepas pemilihan'

MALAYSIAKINI

    Bekas menteri kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata dia sudah menegaskan kepada Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah agar Umno disatukan selepas pemilihan parti itu walau apa pun keputusan yang diperoleh.
Johari yang hadir pada sidang media pengumuman Tengku Razaleigh untuk bertanding jawatan presiden berkata Tengku Razaleigh juga memberi jaminan untuk komited melakukan perkara itu.
"Apa yang saya mahu tekankan adalah ini pertandingan adik-beradik dan kita tak ada kem.

"Saya sudah tekankan kepada beliau (Tengku Razaleigh) bahawa kita cuma tawarkan diri, apapun hasil pemilihan ini, kita mesti bersatu sebagai parti. Ini semangat yang kita mahu," katanya.

Menurut Johari, Umno yang merupakan parti utama dalam BN kalah dalam pilihan raya umum lalu, tidak mampu lagi mewujudkan kem-kem berlainan di dalam parti.

"Apa yang lebih penting kita tak ada kem. Sesiapa saja yang menang akan menerajui parti dan yang kalah akan memberikan sokongan.

"Tapi jika kita mewujudkan kem-kem (bertentangan), saya rasa Umno tak mampu ada kem-kem seperti ini lagi. Umno tidak lagi mengamalkan konsep apabila ada pertandingan, yang menang menerajui parti yang kalah lari dari parti.

"Jangan pecahkan parti. Umno tak mampu lagi jika ada perpecahan. Kita perlukan lebih ramai orang untuk menyumbang demi kebaikan parti," katanya.

Johari juga dilihat tidak ingin kehadirannya dianggap sebagai sokongan terhadap Tengku Razaleigh semata-mata.

"Ini kawasan saya, kampung saya dekat sini. Hari Raya pun tak balik kampung pasal kampung saya di sini. Tengku Razaleigh jemput, saya datang lah," katanya.

Johari merupakan ketua bahagian Umno Titiwangsa dan akan bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan Umno 30 Jun ini.

Johari juga enggan mengulas apabila ditanya pendapatnya tentang pendekatan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam menangani hutang negara.

"Setiap kerajaan mempunyai keutamaan mereka sendiri. Jika kerajaan BN, keutamaan mungkin berbeza. Kerajaan sekarang juga mempunyai keutamaan yang berbeza.

"Apa yang kita perlukan adalah menghormati setiap kerajaan. Dulu, rakyat juga hormat apa yang kita mahu laksanakan.

"Rakyat sudah membuat keputusan dan kita perlu beri mereka masa untuk membuktikan mereka boleh melakukan kerja yang baik," katanya.

Tiada ulasan: