Rabu, 20 Jun 2018

Saya akan terus bongkar seperti diarah Dr M, kata Guan Eng

 
Menteri kewangan berkata kerajaan harus berani kerana benar. 


Lim berkata dia tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan menteri lain mendedahkan skandal dalam kementeriannya.


PETALING JAYA: Menteri Kewangan Lim Guam Eng menghargai teguran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta beliau mengimbangi antara pembongkaran skandal dan memupuk keyakinan pelabur, namun pembongkaran akan diteruskan kerana diarahkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas menteri kewangan itu berkata Guan Eng perlu lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan kerana ia akan rujukan pelabur, dan mewakilan pembongkaran skandal kepada pihak lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Guan Eng berkata kerajaan harus berani kerana benar.

“Telah pun diterangkan kepada Anwar bahawa semua pendedahan skandal kewangan berkaitan 1MDB dan juga skandal lain di dalam media dibuat atas arahan Perdana Menteri. Beliau faham tentang perkara ini.

“Kementerian saya akan terus membongkarkan semua skandal kewangan dalam tempoh masa 100 hari seperti mana yang diarahkan perdana menteri. Kita harus berani kerana benar,” katanya dalam kenyataan media.

Lim berkata sebelum ini beliau atas inisiatif sendiri bertemu Anwar menerangkan keadaan ekonomi negara dan skandal-skandal kewangan “yang memudaratkan beban tanggungan hutang”.

Menurut Lim, Anwar terkejut dengan impak negatif tindakan kerajaan dulu seperti “memalsukan penyata kewangan, menyorokkan fail penyata kewangan dan menanda fail penyata kewangan berwarna merah” yang menyebabkan fail tidak boleh diakses ketua audit negara.

Oleh itu, rakyat berhak tahu keadaan sebenar ekonomi dan kewangan negara, kata Lim.

Lim juga berkata dia tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan menteri lain mendedahkan skandal dalam kementerian yang disandangnya.

Beliau merujuk kepada pengumuman sebelum ini tentang satu lagi skandal besar berkaitan kementeriannya akan didedahkan tidak lama lagi.

Tiada ulasan: