Isnin, 18 Jun 2018

Pas gesa kerajaan PH utamakan rakyat bukan publisiti sementara





Kerajaan disarankan lebih berhati-hati dalam menguruskan perubahan polisi-polisi kini dan mengambil kira sensitiviti pasaran, kata Timbalan Pengerusi Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan Pas Pusat, Mazli Noor.

Menurutnya, langkah tersebut perlu bagi menjaga kepentingan pasaran dan rakyat ekoran laporan terbaharu Moody’s Investors Service berkenaan kesan polisi baharu kerajaan pada masa ini.

“Dalam apa saja tindakan, kepentingan rakyat haruslah menjadi keutamaan dan bukan hanya untuk mendapat publisiti sementara,” dipetik daripada artikelnya di Harakahdaily.

Menurutnya, pandangan daripada hasil analisa Moody’s bahawa peralihan kuasa telah menyebabkan ketidaktentuan polisi mampu menyebabkan penarafan negatif terhadap pasaran dan ekonomi negara secara keseluruhan.

“Penarafan negatif akan menjejaskan keyakinan pelabur asing kepada pasaran modal Malaysia dengan substantif.

“Ini telah terbukti dengan penarikan keluar modal oleh pelabur asing daripada pasaran Bursa Malaysia secara konsisten sejak mula terbentuknya kerajaan baru Malaysia,” ujarnya.

Mazli berkata, data terkini daripada MIDF Amanah Investment Bank Berhad menunjukkan jumlah terkini yang telah ditarik keluar oleh pelabur asing adalah RM3.02 bilion.

“Dalam tempoh jangka panjang, penarafan negatif juga akan menyebabkan profil risiko Malaysia juga akan merosot dengan teruk.

“Ini secara langsung akan mempengaruhi kadar faedah yang akan digunakan oleh pasaran Malaysia.

Kadar faedah akan meningkat selaras dengan dengan kemerosotan profil risiko Malaysia,” ujarnya.

Akibatnya, tambah Mazli lagi, kos untuk pembiayaan aktiviti ekonomi di Malaysia akan bertambah mahal sekali gus bakal merencat perkembangan korporat, penawaran pekerjaan dan seterusnya permintaan domestik.

Tiada ulasan: