Jumaat, 15 Jun 2018

Najib mungkin didakwa ubah wang haram, seleweng harta

 
Sumber berkata, pendakwa raya mungkin mendakwa bekas perdana menteri itu dengan pengubahan wang haram dan penyelewengan harta dalam skandal 1MDB. 


Najib secara konsisten menafikan sebarang salah laku berkaitan 1MDB.


KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Malaysia menyiasat dana kerajaan dipalit skandal, 1MDB sedang mempertimbangkan untuk mendakwa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan pengubahan wang dan penyelewengan harta, kata sumber yang tahu perkara itu.
Najib yang mengasaskan 1MDB pada 2009, menjadi subjek dalam siasatan pengubahan wang dan rasuah, selepas laporan berjuta dolar dimasukkan dalam akaun bank peribadinya daripada dana itu dan bekas anak syarikatnya, SRC International.

Bekas perdana menteri itu secara konsisten menafikan sebarang salah laku berkaitan 1MDB.

Najib, 64, yang mengetuai Barisan Nasional mengalami kekalahan mengejut dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu yang menyaksikan penukaran kerajaan pertama kali sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
Tun Dr Mahathir Mohamad yang dipilih sebagai perdana menteri ke-7 Malaysia, berikrar untuk mendapatkan kembali dana didakwa diseleweng dari 1MDB dan menghukum mereka yang bertanggungjawab.

Selasa lalu, Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, pihaknya sedang mengkaji kemungkinan tindakan jenayah dan sivil, selepas menerima kertas siasatan berkaitan 1MDB daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber yang rapat dengan siasatan itu memberitahu Reuters, Najib mungkin didakwa dengan penyelewengan harta di bawah Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara minimum 5 tahun, denda dan sebatan. Akta itu bagaimanapun melarang tertuduh berusia 50 tahun ke atas disebat.

Sebarang hukuman akan ditentukan mahkamah bergantung kepada kesalahan dan jumlah yang diseleweng.

Sumber itu berkata, Najib mungkin berdepan dakwaan pengubahan wang yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda daripada nilai diseleweng.

Kini, terpulang kepada peguam negara untuk menentukan sama ada akan menerima cadangan itu, memfailkan dakwaan berlainan atau meminta siasatan lanjut. Bekas peguam negara membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan 1MDB.

SPRM dan Jabatan Peguam Negara bagaimanapun tidak mengulas.

Jurucakap Najib juga tidak memberi maklum balas untuk mengulas.

Pada 11 Jun lalu, Najib berkata, jika beliau didakwa atas alasan politik, beliau yakin mahkamah akan membuktikannya tidak bersalah.

1MDB menjadi subjek siasatan di seluruh dunia, termasuk di Amerika Syarikat (AS), Switzerland dan Singapura.

Jabatan Kehakiman AS mendakwa lebih AS$4.5 bilion diseleweng dari 1MDB, dengan kira-kira AS$700 juta dimasukkan ke akaun bank peribadi Najib.

Isnin lalu, polis menyerbu sebuah banglo di Putrajaya yang dikaitkan dengan Najib, dalam serbuan terbaru dalam siasatan 1MDB.

Sebanyak 284 kotak mengandungi beg tangan pelbagai jenama mewah dan 72 beg dirampas dalam serbuan ke atas 6 premis dikaitkan dengan Najib bulan lalu.

Minggu ini, SPRM menggesa 4 individu untuk membantu siasatan 1MDB, termasuk seorang pembantu Jho Low – tumpuan dalam skandal 1MDB yang dikaitkan dengan Najib dan keluarganya.

Tiada ulasan: