Ahad, 17 Jun 2018

Monopoli ubat: SPRM jumpa KKM lepas raya

Monopoli ubat: SPRM jumpa KKM lepas raya
 
 
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertemu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meneliti dakwaan sebuah syarikat memiliki monopoli ke atas bekalan ubat-ubatan di negara ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pertemuan itu akan dilakukan selepas Hari Raya Aidilfitri bagi mendapatkan maklumat berkenaan.

Jelasnya, isu berkenaan baharu sahaja didedahkan Khamis lalu dan berikutan itu, SPRM belum ada kesempatan untuk melakukan siasatan lanjut.

“Isu ini baru ditimbulkan di sosial media yang dipaparkan 14 Jun iaitu sehari sebelum raya. Jadi, pihak saya belum berkesempatan melihat kepada isu ini secara lebih jelas. Selepas raya kita akan berhubung dengan pihak Kementerian Kesihatan untuk melihat kepada isu ini dan kita kalau melihat kepada isu rasuah, ia dilihat di bawah undang-undang atau di bawah bidang kuasa kami.

“Pihak saya belum ada kesempatan lagi untuk melihat perkara ini dengan lebih jelas dan hanya membacanya di portal sahaja. Kita terbuka kepada mana-mana pihak mainstream atau media sosial.

Kita tidak menyiasat portal berkenaan, kerana mereka juga mewakili masyarakat,” katanya kepada Astro Awani hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad pada Jumaat lalu yang mengalu-alukan siasatan oleh SPRM mengenai dakwaan sebuah syarikat memiliki monopoli ke atas bekalan ubat-ubatan di negara ini.

Isu berkenaan didedahkan sebuah portal pada Rabu lalu yang mendakwa syarikat yang dikaitkan dengan ahli politik rapat dengan kerajaan dahulu mengawal bekalan ubat bernilai berbilion ringgit.

Mengulas lanjut, Azam berkata, pendedahan dibuat portal berkenaan akan dilihat semula sama ada dakwaan monopoli berkenaan menyalahi peraturan atau sebagainya.

Azam bagaimanapun menggesa semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi sebelum siasatan dijalankan.

“Jangan buat penilaian dahulu, kita perlu lihat isu ini secara profesional,” katanya

Tiada ulasan: