Selasa, 19 Jun 2018

MB S'gor: Ada pengumuman penting tentang FAS dalam sebulan


Menteri Besar Selangor yang baru, Amirudin Shari memberi gambaran isu penggunaan Stadium Shah Alam yang menjadi pertikaian antara kerajaan negeri dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sebelum ini akan selesai dalam tempoh sebulan.

Bagaimanapun, Amirudin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata beliau tidak mahu bersikap terburu-buru dalam perkara itu dan hanya akan mengumumkan apabila ia benar-benar telah dapat diselesaikan.

“Saya tak nak umum. Saya hanya akan umum selepas saya buat. Insya-Allah tak lama lagi, sebulan saja akan ada pengumuman penting sesuai dengan perubahan pucuk pimpinan FAS dan pendirian kita (kerajaan negeri) konsisten dari awal lagi,” katanya pada sidang media di pejabat Timbalan Perdana Menteri, Putrajaya, hari ini.

Amirudin berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu pertikaian penggunaan Stadium Shah Alam sebelum ini.

Awal Februari tahun ini, Amirudin yang ketika itu merupakan Exco Sukan Selangor dilaporkan berkata, kerajaan negeri masih berunding dengan FAS bagi menyelesaikan kemelut penggunaan Stadium Shah Alam supaya ia boleh digunakan sebagai gelanggang tuan rumah dalam perlawanan Piala Malaysia yang melibatkan The Red Giants.

Amirudin berkata, pihaknya menyedari desakan daripada penyokong Selangor, namun menjelaskan bahawa kerajaan negeri perlu konsisten dengan keputusan diambil sebelum ini.

Pada 6 Jun lalu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuiddin Idris Shah mengesahkan bersetuju menerima tawaran sebagai presiden FAS.

Pengumuman positif bagi menyandang jawatan kepimpinan FAS tersebut dibuat menerusi satu kenyataan rasmi daripada Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani di Shah Alam, Selangor.

Sebelum ini media melaporkan Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan peletakan jawatan beliau selaku presiden FAS dan kerusi itu bakal diisi oleh Tengku Amir Shah dalam Mesyuarat Agung Tahunan Luar Biasa yang akan diadakan pada 3 Julai ini.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga, Rodziah Ismail sebagai Exco Selangor menjadikan Selangor negeri pertama mempunyai 30 peratus exco wanita.

Katanya, perkara ini merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan, dan menambah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut teruja dengan pencapaian itu.

Teka-teki calon menteri besar Selangor terjawab apabila Amirudin mengangkat sumpah di Istana Alam Shah, pagi ini.

Rodziah pula dilantik menggantikan Amirudin sebagai exco pembangunan generasi muda, sukan, kebudayaan dan pembangunan usahawan.


Tiada ulasan: