Isnin, 18 Jun 2018

KHAIRY ‘U-TURN’ TANDING PRESIDEN UMNO

Oleh : HASPAIZI. MOHD ZAIN




Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membuat kejutan saat akhir apabila membuat keputusan untuk bertanding jawatan Presiden UMNO pada hari akhir pencalonan.

Khairy berkata, keputusan itu dibuat setelah memikirkan masa depan dan survival UMNO dalam keadaan hari ini supaya ahli dapat menentu kearah mana parti itu harus dikemudikan.

“Saya sangat hormat kepada YBM Tengku Razaleigh Hamzah. Malah, saya telah berjumpa dengan beliau beberapa hari yang lepas dan menggalakkan hasrat beliau bertanding di atas semangat pemilihan terbuka. Saya juga sangat hormat kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Dalam UMNO, beliau ibarat seorang abang kepada saya yang sentiasa membantu dan menasihati saya.

“Kedua-dua tokoh ini mempunyai kelebihan masing-masing. Tengku Razaleigh adalah seorang negarawan yang berjaya mengasaskan institusi-institusi penting negara seperti Petronas dan Bank Bumiputra. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid pula adalah seorang pejuang yang telah melalui jatuh bangun dunia politik dan mempunyai hubungan yang sangat erat dengan akar umbi parti. Kedua-dua mereka merupakan calon-calon yang mempunyai kekuatan tersendiri untuk jawatan presiden ini.

“Namun, memandangkan pertandingan di peringkat tertinggi UMNO kali ini adalah terbuka, saya mahu para perwakilan parti diberi pelbagai pilihan sebelum mereka membuat keputusan yang dirasakan terbaik untuk UMNO.

“Sudah pasti, saya tidak mempunyai pengalaman yang luas seperti calon-calon yang lain. Tetapi saya mahu perwakilan diberi satu lagi pilihan yang mewakili peralihan generasi dalam UMNO. Satu pilihan yang pada prinsipnya melihat bagaimana parti kita dapat dibina semula mengikut acuan terkini tanpa melupakan asas penubuhan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, Ahad.

Ahmad Zahid adalah calon terawal membuat keputusan bertanding jawatan Presiden UMNO dan disusuli Tengku Razaleigh.

Khairy sebelum itu membuat keputusan untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO bagaimanapun ‘u-turn’ bertanding jawatan Presiden pada saat-saat akhir


Tiada ulasan: