Selasa, 26 Jun 2018

Jamal ada di Indonesia, kata Muhyiddin

   

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan pihak berkuasa telah mengenal pasti lokasi persembunyian Datuk Seri Jamal Yunos yang kini berada di Indonesia.

Beliau berkata polis Malaysia dan Indonesia juga telah mengadakan kerjasama untuk menahan dan membawa pulang ketua Umno bahagian Sungai Besar itu ke tanahair.

"Dia masih di Indonesia di tempat-tempat tertentu, kita tahu.

"Kerjasama dengan pihak Indonesia baik dan mereka telah beri bayangan tindakan susulan untuk menangkap Jamal.

"Kita punya arahan tetap ialah ambil tindakan dengan menangkap beliau dan bawa balik ke Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan hari raya di Bukit Aman hari ini.

Ahad lalu Malaysiakini melaporkan, pihak polis masih berusaha menjejaki Jamal yang melarikan diri daripada pihak berkuasa sejak sebulan lalu.

Bagaimanapun, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat enggan mengesahkan bahawa polis sedang memburu Jamal di Indonesia.

Ketua gerakan Baju Merah itu dikehendaki polis kerana disiasat berhubung sembilan kes yang dikaitkan terhadapnya.

Dia melarikan diri semasa proses ikat jamin dijalankan di Hospital Ampang Puteri pada 25 Mei lalu.

Jamal didakwa di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan berkaitan kes gangguan awam selepas memimpin bantahan pada Oktober 2017 dengan memecahkan beberapa botol minuman keras di luar bangunan sekretariat kerajaan negeri Selangor.

Dia juga disiasat bawah Seksyen 34 Akta Senjata 1960 kerana membawa senjata api semasa dalam keadaan mabuk atau tidak senonoh.

Mahkamah Majistret Shah Alam mengeluarkan waran tangkap ke atas Jamal pada 8 Jun.


Tiada ulasan: