Jumaat, 29 Jun 2018

Hassan diarah bayar ganti rugi RM200,000 pada Khalid Samad

THE MALAYSIAN INSIGHT
Khalid Samad mendakwa satu video mengandungi ucapan itu disunting dan dimuat naik di laman media sosial YouTube, yang boleh diakses secara terbuka oleh orang ramai, manakala perkataan yang didakwa dikeluarkan Hassan adalah tidak berasas, tidak betul dan berbaur fitnah, yang menjejaskan reputasi, imej serta nama baiknya yang ketika itu menjadi ahli Jawatankuasa Pusat PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
KES saman fitnah difailkan ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad terhadap bekas exco Kerajaan Negeri Selangor Hassan Mohamed Ali berhubung isu penjualan arak, kewujudan pusat judi dan rumah urut di negeri itu, diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi hari ini.

Peguam Muhammad Faiz Fadzil yang mewakili Khalid memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua pihak mencapai persetujuan bagi penyelesaian kes selepas Hassan selaku defendan bersetuju untuk membayar ganti rugi RM200,000 dan kos RM25,000 kepada anak guamnya.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya Kehakiman Rohani Ismail merekodkan penghakiman persetujuan berkenaan. Turut hadir dalam prosiding itu peguam Nik Alia Hanafi, yang mewakili Hassan.

Sepatutnya, hari ini ditetapkan untuk menyambung perbicaraan kes saman berkenaan bagi mendengar keterangan defendan manakala pihak plaintif telah selesai memberi keterangan.

Pada 16 Dis 2016, Mahkamah Tinggi membatalkan pembelaan Hassan selepas beliau gagal memenuhi arahan pemfailan bagi perbicaraan.

Pada 25 Jan 2017, Mahkamah Tinggi membenarkan saman Khalid selepas mendengar keterangan plaintif manakala defendan tidak memberikan keterangan dan mahkamah memerintahkan Hassan membayar ganti rugi RM200,000 kepadanya (Khalid) kerana memfitnah beliau berhubung penjualan arak, pusat judi dan rumah urut di Selangor.

Bagaimanapun pada 27 Feb lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Hassan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan pembelaannya dan jumlah ganti rugi RM200,000 itu dan memerintahkan supaya defendan memberi keterangan di Mahkamah Tinggi.

Pada 29 April 2015, Khalid, yang kini pengarah komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), menyaman Hassan, yang ketika itu exco Kerajaan Negeri Selangor, dengan mendakwa Hassan mengeluarkan kata-kata fitnah semasa berucap di Dewan Rukun Tetangga, Seksyen 17, Shah Alam pada 2012.

Khalid mendakwa satu video mengandungi ucapan itu disunting dan dimuat naik di laman media sosial YouTube, yang boleh diakses secara terbuka oleh orang ramai, manakala perkataan yang didakwa dikeluarkan Hassan adalah tidak berasas, tidak betul dan berbaur fitnah, yang menjejaskan reputasi, imej serta nama baiknya yang ketika itu menjadi ahli Jawatankuasa Pusat PAS.

Hassan, yang pernah menyandang jawatan pesuruhjaya PAS Selangor, dalam kenyataan pembelaannya  mendakwa kata-kata yang dikeluarkannya adalah fenomena biasa dalam senario politik di Malaysia, iaitu parti politik mengkritik sama sama lain demi kepentingan politik masing-masing.

Khalid ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata beliau gembira dengan keputusan hari ini kerana perlu menumpukan perhatian kepada perkara lain selepas ini.

“Kes saman ini membabitkan tempoh yang lama dan saya bersyukur kerana ia berjaya diselesaikan dengan cepat,” katanya. – Bernama,

Tiada ulasan: