Isnin, 18 Jun 2018

Bukan Najib, Rahman di sebalik Unit Komunikasi Strategik Umno

MALAYSIAKINI



Umno, menerusi "unit komunikasi strategik" parti itu memilih pendirian “ofensif” selepas tewas pada pilihan raya umum 9 Mei lalu dengan mengeluarkan kenyataan media yang menyerang balas lawan politiknya.

Walau bagaimanapun, kenyataan-kenyataan itu dikeluarkan tanpa sebarang nama.

Ini menimbulkan kritikan, termasuk daripada Penasihat DAP, Lim Kit Siang, yang mempersoalkan siapa di sebalik unit komunikasi strategik Umno yang "misteri, tanpa nama, tidak berwajah itu".

Unit itu, dalam satu kenyataan hari ini, yang tetap tidak menyiarkan sebarang nama, menafikan spekulasi Lim bahawa bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mahupun bekas menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan adalah mereka di belakang tabir.

“Pertanyaan beliau sama ada Unit Strategik ini terbabit di dalam pendedahan 'MO1 sebagai Datuk Seri Najib Razak', seperti yang dinyatakan oleh seorang pemimpin Umno itu, sebenarnya tidak ada kena-mengena dengan unit ini.

“Bahawa unit ini juga di bawah penguasaan Najib juga adalah tidak berasas kerana penyumbang tulisan dan ideanya datang dari pelbagai arah, termasuk ahli dan penggiat media sosial Umno sendiri,” katanya.

Unit itu juga membidas Lim susulan kenyataan veteran DAP yang mencadangkan Umno memecat Najib dan menjarakkan diri daripada “legasinya”.

Najib sedang disiasat berhubung tuduhan terlibat dalam penyelewengan berbilion ringgit daripada syarikat pelaburan milik kerajaan, 1MDB, yang dinafikannya.

Unit itu turut mempersoalkan niat Lim dalam “memberi perhatian terhadap hidup-mati Umno?”

“Cubaan campur tangan Kit Siang sendiri dalam menentukan nasib masa depan Umno juga seolah-olah mahu melihat Umno, satu-satunya parti orang Melayu ini, hancur.

“Cucilah otak sendiri terlebih dahulu sebelum mempersoalkan orang lain. Sebaik-baiknya ajukan semua soalan mengenai Umno kepada 'kingmaker' parti selama 22 tahun.

“Yang nyata, unit ini juga sama seperti suara DAP dalam Roket dan PAS melalui Harakah. Mereka hanya melaporkan untuk parti masing-masing selepas mengumpul semua data daripada pemimpin,” katanya.


Tiada ulasan: