Sabtu, 16 Jun 2018

'Buat masa ini, Najib satu-satunya jurucakap pembangkang'

 
   
Walaupun meletakkan jawatannya sebagai presiden Umno dan pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak nampaknya lebih aktif berbanding sebelum ini, termasuk ketika beliau menjadi perdana menteri, dalam mengulas isu-isu hangat negara.

Terdapat lebih 10 kenyataan akhbar daripada Najib mengenai dasar dan pengisytiharan kerajaan baru - semua yang dikeluarkan dalam tempoh singkat sebulan ini sejak Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil alih kuasa.

Di antara 11 kenyataan yang dikeluarkan olehnya, empat mengenai hutang kerajaan persekutuan, beberapa kenyataan tentang projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) manakala selebihnya menyentuh projek 1MDB, projek kereta nasional baru dan projek saluran paip gas.

Sebaliknya, pemimpin-pemimpin pembangkang yang lain dalam gabungan BN kelihatan agak tenang.

KJ kuasa baru

Walaupun bertindak sebagai pemangku presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid hanya bercakap sekali-sekala, kebanyakan kenyataannya mengenai pemulihan Umno atau seruan perdamaian 'merapatkan barisan' di dalam BN.

Di luar perkara-perkara dalaman ini, bekas timbalan perdana menteri itu menyuarakan bantahannya terhadap keputusan kerajaan HARAPAN menamatkan kontrak lebih daripada 10,000 jawatan lantikan politik.

Khairy Jamaluddin, yang dianggap sebagai kuasa baru dalam Umno pada masa ini, juga jarang mengulas mengeni kerajaan HARAPAN. Tiga daripada empat kenyataan yang dikeluarkan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) menyentuh isu-isu dalam BN dan satu kenyataannya mempersoalkan cadangan projek kereta nasional baru.

Namun pemimpin Parlimen DAP, Lim Kit Siang mendapati tindakan Najib yang sibuk mengeluarkan kenyataan yang ditujukan kepada kerajaan HARAPAN Harapan itu sebagai menarik dan menyifatkannya sebagai "satu-satunya jurucakap" kepada pembangkang.

"Najib muncul sebagai peneraju utama untuk Umno-BN, yang mengeluarkan kenyataan berkala untuk menyerang kerajaan Pakatan Harapan kecuali kenyataannya tidak mendapat khalayak penyokong kerana beliau telah kehilangan semua kewibawaan dan kepercayaan," kata Lim.

Walaupun secara aktif menanggapi pelbagai isu, penganalisis politik Phoon Wing Keong menyifatkan tindakan Najib itu semata-mata sebagai percubaan untuk mempertahankan dirinya sahaja lebih lagi daripada memberikan pandangan sebagai wakil pembangkang.

"Najib tidak menjawab isu-isu daripada perspektif pemimpin pembangkang. Sebaliknya, beliau cuba mempertahankan tingkah laku masa lalu daripada perspektif seorang bekas perdana menteri yang dituduh rasuah dan sedang disiasat," katanya.

Phoon berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sengaja melakukan tindakan 'menyahkan warisan Najib' dengan membatalkan projek HSR, memansuhkan logo 1Malaysia dan mengkaji semula projek ECRL.

Beliau juga berkata Najib sedang berusaha sedaya-aya untuk menyelamatkan legasinya dan mempertahankan apa jua sokongan yang masih diterimanya.

Tiada ulasan: