Al-Khor, Qatar
Ahad, 13 Mei 2018
Wala’, PAS kekal terbaik
MOHD NASIR ABDULLAH
KETIKA ini, belum
seminggu negara menyaksikan keruntuhan tembok besar BN yang diruntuhkan
sendiri oleh golongan-golongan yang berada di bawah ketiak BN dahulu.
Sudah kelihatan bunga-bunga yang berguguran dek kerana kegoncangan yang
agak kuat, dialami oleh BN. Sudah ada yang menukar jersi mereka daripada
biru tua kepada kepada biru muda ataupun merah. Mereka saling menunding
jari menunjuk sesama sendiri. Tidak kurang yang bersikap kurang ajar,
terhadap ketua mereka sendiri. Ya-lah, pasukan yang tidak pernah kalah,
bermain di gelanggang sendiri. Pengadil pula rakan baik mereka,
penonton juga hanya dari kalangan mereka, setelah 61 tahun, gugur di
peringkat akhir kepada lawannya yang dikatakan mempunyai pemain yang
tua. Bila kalah, sikap sebahagian penonton mula berubah, habis diungkit
kejahatan pasukan mereka, kelemahan itu dan ini, meminta orang itu dan
ini dipecat, meminta nafas baharu, bercakaran sesama mereka sehingga
terpaksa bersikap melampaui adab berorganisasi. Dan akhirnya, ketua
mereka meletakkan jawatan. Saya tidak mahu mengulas panjang
berkenaan amukan ahli-ahli mereka. Tetapi saya ingin menarik perhatian
pembaca kepada suatu keadaan yang hampir sama berlaku kepada PAS sedikit
masa dahulu. Setelah mencuri tumpuan negara dengan kemenangan cemerlang
1999, PAS mengorak langkah dengan bergaya. Dengan segala kekurangan,
mereka bergerak membawa Kerajaan Terengganu dan Kelantan ke arah Negeri
Islamik. Namun, takdir menentukan, pada 2004 setelah BN sudah
mengemaskini Daftar Pemilih mereka, Tun Abdullah mengadakan PRU11. PAS
menyedari banyak nama yang meragukan di dalam Daftar Pemilih SPR, telah
membuat bantahan secara rasmi, tetapi ditolak. Masih berkeyakinan akan menang, maka
pada tanggal bersejarah itu, kira-kira jam tiga petang, seorang kawan
saya yang memaklumkan PAS sudah kalah. Saya bertanya bagaimana mungkin,
kita masih ada dua jam untuk mengundi? Dia memaklumkan yang abangnya
salah seorang pegawai atasan polis di Bukit Aman memberitahunya kerana
culaan mereka sudah mencapai jumlah kemenangan. Benar-benar ia terjadi,
PAS kalah di Terengganu 28-4. Impian menakluk Kedah berkecai. Kelantan
tinggal tiga kerusi majoriti mudah yang kemudiannya hilang satu lagi di
Pengkalan Pasir yang meninggalkan PAS Kelantan memerintah dengan
kelebihan satu kerusi dengan majoriti dua undi di Dun Kemuning, Machang. Sungguh kecewa rasa hati. Sedih pilu
Allah sahaja yang tahu. Ketika itu suara-suara sumbang mulai kedengaran,
terutamanya daripada pimpinan yang lari daripada PAS tahun 2015 dahulu.
Di dalam Harakah (yang sedia maklum ketika itu dikuasai
mereka) disiarkan tulisan salah seorang pimpinan PAS yang menyindir
Presiden apabila Presiden PAS mengingatkan ahli agar mengambil ibrah
kekalahan Perang Uhud. Tetapi pimpinan yang lari pada 2015 itu bertanya,
berapa orang yang syahid dalam PRU 2004 ini? Sikap kurang ajar itu
jelas ditunjukkan beliau. Luka kekalahan itu tidak sembuh semudah
meletakkan ubat luka, ia datang lagi tidak lama berselang selepas itu,
kali ini di Kuala Berang, ada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerana kematian
Adunnya. PAS kalah lagi dengan majoriti yang besar. Dan tambah
memeritkan ialah PRK itu dijalankan hampir serentak dengan tarikh
Muktamar PAS Pusat, ketika perwakilan sedang membincangkan kekalahan PRU
itu. Di dalam sidang muktamar itu Dato’ Mustafa Ali atau Cikgu Pa
sebagai Naib Presiden menjelaskan ada desakan daripada pimpinan (Baca
mereka yang keluar PAS 2015) untuk mengadakan tunjuk perasaan di jalan
raya kerana PAS kalah ditipu (Kemudian selepas berpecah dari PAS, mereka
menukar kenyataan bahawa kekalahan PAS kerana Presiden PAS tidak pandai
memerintah, bagi menabur fitnah). Tetapi Cikgu Pa menolak sebarang
rancangan turun ke jalan raya itu. Beliau meminta semua agar bertenang dan menerima kekalahan itu kerana PAS masih kekal dengan prinsip Muwajahah Silmiyyah
iaitu berdepan lawan dengan cara yang baik. Tindakan bijak Cikgu Pa
itu, menutup segala ruang fitnah yang lebih besar. Tetapi beliau juga
difitnah oleh sebahagian kumpulan itu dengan tuduhan lain. Daripada
kumpulan ini juga, selepas beberapa muktamar, adanya suara agar Presiden
PAS meletak jawatan atas alasan kalah itu. Ada yang cuba mencalonkan
Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Presiden. Ada juga cubaan
meletakkan Husam Musa sebagai calon Presiden oleh PAS Kawasan Bukit
Bintang. Mereka meletakkan kesalahan ke atas Presiden seorang tanpa
mereka akui, mereka juga adalah sebahagian kepimpinan PAS yang tewas
itu. Inilah bahananya jika kemenangan yang dijadikan tujuan utama kepada
perjuangan, sedangkan PAS sudah kalah berkali-kali sebelum ini. Tidak terhenti di situ sahaja, usaha
mereka menukar kepimpinan PAS berterusan. Cubaan Husam Musa untuk
mencabar Presiden PAS beberapa kali selepas itu, dipandang sepi oleh
perwakilan. Lalu Husam menolak pencalonan kononnya menghormati Presiden,
sedangkan perwakilan tahu, dia tidak mempunyai sokongan yang kuat.
Lantas beliau mencuba pula sebagai Timbalan Presiden dengan dakwaan
beliau mahu membaiki parti. Ketika itu Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin
Tantawi menempelak Husam dengan mencabar beliau bertanding jawatan
Presiden sebab Timbalan Presiden mempunyai kuasa yang lebih rendah.
Untuk tempelakan itu, Husam membalasnya dengan Nasrudin tidak diberikan
ruang untuk berceramah ketika PRK di Manik Urai oleh Husam walaupun
Nasrudin adalah Ketua Dewan Pemuda PAS. Sehinggalah mereka keluar, PAS tetap
teguh dengan menangani masalah-masalah yang kecil mahupun sehingga tahap
krisis. Satu ramuan utama yang menyebabkan PAS masih teguh berdiri
sehingga kini, iaitu ahli-ahli PAS Wala’ kepada pimpinan. Tsiqah
kepada segala bentuk keputusan yang diambil oleh pimpinan. Mereka tidak
terpengaruh dengan hasutan pimpinan yang keluar parti sedikit masa
dahulu. Lebih 80 peratus ahli setia bersama Presiden Tuan Guru ketika
Ahmad Awang cuba menentang beliau. Lalu takdir yang menjadi ketentuan
Allah, berlaku sebagaimana yang kita tahu selepas muktamar itu. Sekarang, sebahagian bekas pimpinan PAS itu dikalungkan jawatan Menteri hasil Tahaluf
mereka di bawah Pakatan Rakyat. PAS tetap menjadi pembangkang, tidak
ambil pusing jawatan itu, sudah lali difitnah dan dihina. Namun,
lihatlah, tiada suara sumbang yang menyeru kepada Presiden agar meletak
jawatan. Tidak terliur dengan jawatan Menteri kerana jika benar-benar
PAS mahu, Umno-lah yang seharusnya menjadi pilihan PAS semenjak dahulu.
Pasti sudah lama PAS menjadi kaya, jika harta dan pangkat jadi
keutamaan. Prinsip PAS yang sangat utuh ini dipegang sehingga kini, dan
disebabkan itulah, tiada pihak yang boleh mengumpan jawatan ataupun
harta kepada pimpinannya. Janji taat setia atas nama Allah, cukup
menggerunkan mereka, kecuali yang tidak berasa bersalah dengan Allah.
Ahli PAS sememangnya Wala’. Ketika ini, fitnah kepada PAS telah
kembali kepada mereka. Di sebalik PAS dituduh UG dengan BN di Perak, PH
tidak perlu mencuci, memberus, menyental dosa-dosa BN. Tetapi dengan
hanya membuka pintu masuk rumah mereka, dosa dan noda Adun BN hilang.
Jilatan kepada kahak fitnah yang masih berlendir suam itu, dihirup dan
dinikmati penuh yakin, puas dan gembira oleh mereka dan dikongsi dengan
penyokong mereka, kerana mahukan jawatan. Fitnah lain kepada PAS dahulu ialah
dikatakan menjadikan golongan Syiah sebagai pimpinan PAS. PAS secara
konsisten, menjelaskan bahawa Yahudi dan Zionis adalah musuh utama
Islam. Sementara Syiah boleh didekati untuk didakwah. Tetapi mereka
mencemuh Presiden PAS kerana idea Taqrib itu. Dan sekarang pula
orang yang mereka gelar Syiah dahulu menjadi ketua mereka. Mengikut
Hadis yang dibacakan oleh Pakar Hadis mereka, pemimpin wajib ditaati,
haram dilawan. Maka, pastikan Pakar-pakar Hadis ini tidak keluar dari
jemaah Islam PH mereka ini. Wajib mentaati ketua baharu yang mereka kata
Syiah dahulu, haram dilawan. Pernah ahli-ahli PAS dipuji oleh
Profesor Emeritus Khoo Kay Kim seorang Pakar Sejarah Malaysia bahawa,
tiada ahli parti lain yang boleh melawan kerja-kerja yang ahli PAS
lakukan untuk parti mereka. Mereka bekerja tanpa upah dan taat kepada
pimpinan. Wala’ inilah yang menjadi senjata ampuh bagi PAS. Digelar
lawan sebagai bodoh kerana Wala’ membabi buta, tetapi apabila mereka
dilanda krisis dengan keputusan pimpinan mereka, pandai pula mereka
menyuruh bersabar dan dengar kata pimpinan. InsyaAllah PAS kekal relevan
selagi sikap mematuhi arahan kepimpinan yang tidak bercanggah dengan
al-Quran dan Sunnah disemat di dalam dada-dada ahli. Ahli PAS perlu
sedikit bersabar menanti keputusan-keputusan penting sekarang ini yang
memerlukan kepada kebijaksaan pimpinan Majlis Syura Ulamak
memutuskannya. Wala’ PAS bukan membabi buta, tetapi Wala’ kerana Allah. HARAKAH DAILY *MOHD NASIR ABDULLAH
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan