Isnin, 14 Mei 2018

UMNO PULAU PINANG AKAN TENTUKAN HALA TUJU PARTI

Watawan Watan-Online



UMNO Pulau Pinang dijangka mengadakan perbincangan lanjut berhubung hala tuju parti itu sebaik pembentukan Kerajaan Persekutuan dan negeri selesai.

Timbalan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata pihaknya kini menantikan pembentukan kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) dan majlis angkat sumpah jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang yang dijadualkan esok.

Katanya, sebaik kedua-duanya selesai, beliau akan mengusulkan pertemuan dengan kesemua pucuk pimpinan UMNO negeri bagi membincangkan situasi dan hala tuju parti.

“Kita tunggu dan biar semuanya selesai dahulu kemudian satu pertemuan akan diusulkan.

“Kehadiran UMNO masih lagi diperlukan dan ia dibuktikan dengan kemenangan yang diperoleh untuk kerusi Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor,” katanya selepas Majlis Kesyukuran sempena Ulangtahun UMNO ke-72, di Kepala Batas, Sabtu malam.

Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, beliau mengakui bakal melalui suasana lebih sukar apabila kerajaan sudah bertukar, namun ia bukan penghalang untuk terus berkhidmat untuk masyarakat kawasan itu.

“Kekalahan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah luar jangkaan kita apabila kerja-kerja turun padang yang dijalankan, kita tidak dapat satu aduan mengenai calon-calon yang bertanding apatah lagi mereka sebelum ini adalah wakil rakyat di sini ketika pilihan raya lalu.

“Apa-apa pun kita reda dengan kehendak rakyat dan kini adalah masa untuk bermuhasabah,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Reezal Merican memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas menewaskan calon PKR, Dr Zaidi Zakaria dan Siti Mastura Muhammad (PAS) selepas memperoleh 22,459 undi.

Biarpun gagal untuk mengekalkan kubu kuat, Reezal Merican bagaimanapun berjaya meningkatkan jumlah majoriti berbanding pada PRU-13 lalu iaitu dari 4,176 undi kepada 4,736 undi.

Selain Reezal Merican, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya turut mengekalkan kerusi yang dimenanginya namun sekadar memperoleh majoriti 81 undi.

Tiada ulasan: