Khamis, 17 Mei 2018

Ummah mahu menteri Islam terajui kementerian utama

Manzaidi Mohd Amin
 
Ismail Mina
Ismail Mina

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mengingatkan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) agar melantik menteri yang beragama Islam bagi menjaga kesucian dan kedudukan agama itu.

Pengerusinya, Ismail Mina Ahmad berkata, cadangan itu bertujuan memastikan usaha kerajaan untuk melestarikan agenda Islam selari dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan iaitu dalam bingkai Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menolak fahaman liberalisme serta pluralisme.

“Ummah juga ingin menyuarakan kegusaran terhadap perkembangan senario politik dan suasana masa kini, yang mana terdapat unsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Negara serta usaha mencabar kesucian kedudukan Islam sebagai agama bagi persekutuan.

“Kita harap tindakan segera diambil oleh pihak berwajib,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Menurut Ismail, kerajaan tidak boleh memandang rendah peranan Ummah kerana organisasi itu mempunyai lebih 300 pertubuhan NGO Islam, yang memerhati secara dekat perkembangan yang berlaku, terutama berkaitan agama.

Beliau turut menyeru semua aktivis, pimpinan NGO Islam serta seluruh umat Islam amnya agar bersama Ummah dalam pendiriannya mahu kerajaan PH melantik menteri dalam kalangan Islam. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: