KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan
Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) membayar RM1.1 juta kepada bekas
ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hakim Datuk Ahmad Zaidee Ibrahim membuat keputusan itu selepas
mendapati TV3 memfitnah Anwar dalam laporannya yang mendakwa ketua umum
PKR itu sebagai dalang dalam serangan di Lahad Datu pada 2013.
Mahkamah memerintahkan TV3 membayar RM600,000 sebagai ganti rugi am dan
masing-masing sebanyak RM250,000 bagi ganti rugi teruk dan teladan.
Hakim Ahmad Zaidee juga memerintahkan TV3 membayar kos sebanyak RM40,000.
Sementara itu Bernama melaporkan hakim mendapati TV3 sebagai defendan
kedua gagal mengambil tindakan sewajarnya sebagai wartawan
bertanggungjawab untuk membuat pengesahan daripada Anwar sebelum
menyiarkan laporan berita itu.
“Mengikut keterangan saksi defendan, mereka menyiarkan laporan berita
itu berdasarkan artikel daripada Utusan, tetapi akhbar itu telah
mengakui bahawa artikel itu tidak benar dan fitnah terhadap plaintif
(Anwar). Bagaimanapun, TV3 berkeras dan tiada penyelesaian dibuat antara
TV3 dan plaintif,” kata Ahmad Zaidi.
Hakim itu berkata selepas menimbangkan keadaan kes berkenaan, beliau
mendapati sifat laporan berita itu memberikan implikasi terhadap plantif
dan oleh itu mahkamah merasakan bahawa jumlah RM600,000 bagi ganti rugi
am adalah munasabah.
“Terdapat niat jahat dalam laporan berita itu, ini dapat dilihat
daripada tindak-tanduk CEO TV3, walaupun Utusan Malaysia sudah mengakui
berita yang diterbitkan palsu tetapi TV3 masih berkeras.
"Saya rasa berdasarkan itu mahkamah membenarkan tuntutan plaintif bagi
ganti rugi teruk dan teladan masing-masing berjumlah RM250,000,”
katanya.
Pada 8 Mac 2013, Anwar selaku plaintif memfailkan saman terhadap Utusan
Melayu; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Abdul Aziz Ishak; TV3;
Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen
dan Radio, Media Prima Bhd Datuk Shaharudin Abd Latif dan Pengarang
Berita Buletin Utama, Ing Boon Seng sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa Utusan Melayu menyiarkan
artikel di muka hadapannya bertajuk 'Ketua Pembangkang dikaitkan dengan
pencerobohan?' dan artikel di muka surat sembilan bertajuk 'Tiga
kumpulan menjadi dalang' bertarikh 2 Mac 2013.
Bekas anggota Parlimen Permatang Pauh itu juga mendakwa TV3, antara
pukul 8 dan 9 malam, hari yang sama dalam Buletin Utama turut menyiarkan
berita mengenai pencerobohan di Lahad Datu berdasarkan laporan berita
yang dikeluarkan oleh Utusan Melayu.
Pada 5 Okt 2016, Anwar berjaya menyelesaikan kes saman itu terhadap
Utusan Melayu dan Ketua Pengarangnya Datuk Abdul Aziz Ishak selepas
kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman itu.
Anwar diwakili peguam Datuk S.Ambiga manakala peguam Lim Qi Si bertindak bagi pihak TV3.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan