Rabu, 16 Mei 2018

Tuan Guru yang melahirkan ramai guru

Ustaz Nik Muhammad Nasri

 
 
HARI ini 16 Mei 2018 adalah Hari Guru. Dalam Islam, guru disebut sebagai murabbi, mudarris, muallim. Namun, setiap satu istilah punya makna tersendiri yang berbeza.
 
Dalam istilah orang Melayu, Tuan Guru biasanya merujuk kepada seorang yang banyak ilmu agama, umur yang agak lanjut, punya peribadi yang mulia dan disegani oleh orang lain.
 
Alhamdulillah, dalam sebuah parti dan gerakan Islam seperti PAS, ia punya ramai tok-tok guru. Bukan sahaja dalam aspek-aspek yang disebut di atas sahaja, tetapi juga melahirkan anak-anak murid yang kemudiannya menjadi guru pula.
 
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sudah berumur lebih 71 tahun. Beliau digelar tok guru, bukan kerana beliau yang meminta untuk digelar demikian. Tidak juga membayar mana-mana agensi supaya diletakkan gelaran itu kepadanya. Ia muncul dari masyarakat yang melihat, memandang dan menilai.
 
Dari sudut ilmu, ramai anak buahnya yang 'menjadi'. Para asatizah dan ilmuan muncul dari tarbiahnya. Dari sudut politik, beliau terus kekal hingga kini. Dalam masa yang sama, dikelilingnya dipenuhi anak-anak buah didikan politiknya juga, walaupun dari segi umur, mereka mungkin dianggap sebagai anak-anaknya.
 
Tok guru difitnah, dikecam, dikata, persis ulama soleh terdahulu. Namun, tok guru tetap cekal, tidak endahkan rumput dan lalang, meredah lautan perjuangan, mencari redha dan pahala dari Tuhan.
 
Moga Tok Guru sentiasa sihat, diberi rahmat, terus berbakti buat umat. Selamat Hari Guru kepada Tok Guru dan semua guru. – HARAKAHDAILY 
 
*Penulis ialah Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulamak PAS Terengganu dan Timbalan YDP PAS Kemaman.
 
 

Tiada ulasan: