PAKATAN
Harapan baru sahaja menubuhkan kerajaan selama tempoh 4 hari. Masih
terlalu awal untuk menilai pencapaian kerajaan baharu ini, justeru kita
seharusnya memberikan ruang kepada kerajaan melunaskan janji-janjinya.
Pun
demikian, dari hari pertama lagi, saya mengikuti dengan dekat tindak
tanduk kerajaan baharu ini, dan saya dapati ada beberapa perkara yang
agak merisaukan.
Jika
diteliti muka surat 4 Buku Harapan, kerajaan hari ini berjanji “akan
menghentikan kerosakan institusi-institusi penting negara, dan akan
mengembalikan kedaulatan undang-undang, lantas menjamin kebebasan agensi
agensi penting dalam kerajaan.”
Tetapi
tindak tanduk kerajaan hari ini nampak sungguh membelakangkan kedaulatan
undang-undang (rule of law), dan lebih berpihak kepada kedaulatan
kekuasaan (rule of might). Berikut adalah 3 perkara:-
KEJANGGALAN
PERTAMA, Tun Mahathir dan Dr Wan Azizah telah memberikan kenyataan di
hari kedua pembentukan kerajaan baharu bahawa YDPA telah bersetuju untuk
memberikan pengampunan penuh kepada DS Anwar Ibrahim.[1] Hal ini amat
janggal, kerana di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, sungguhpun
kuasa untuk memberikan pengampunan adalah di bawah bidangkuasa YDPA,
tetapi kuasa itu hendaklah dijalankan atas nasihat Lembaga Pengampunan.
Persoalannya,
adakah Lembaga Pengampunan telah bersidang, untuk mengatakan bahawa
YDPA telah bersetuju memberikan pengampunan penuh kepada Anwar?
Jika
diteliti Perkara 42(5) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara adalah
salah seorang ahli dalam Lembaga Pengampunan; Perkara 42(9) pula
memperuntukkan bahawa sebelum membuat sebarang nasihat untuk pengampunan
kepada YDPA, Lembaga Pengampunan hendaklah mendapatkan pandangan
bertulis daripada Peguam Negara terlebih dahulu.
Saya yakin,
kesemua perkara ini belum dilakukan lagi, kerana sejak menubuhkan
Kerajaan baharu, hari bekerja pun belum bermula lagi, dan Lembaga
Pengampunan pun belum bersidang, bahkan bagaimanakah agaknya rupa
bentuknya pandangan bertulis Peguam Negara nanti? Justeru mengapa Tun
Mahathir sebagai perdana menteri yang telah mengangkat sumpah dan Dr.
Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri (yang belum mengangkat
sumpah) bulldoze kesemua peruntukan keperlembagaan ini?
KEJANGGALAN
KEDUA pula ialah apabila Tun Mahathir dalam satu sidang media
mengumumkan bahawa Peguam Negara sekarang ini bukanlah lagi Peguam
Negara, dan kini terdapat kekosongan untuk jawatan itu. [2]
Perkara 145
Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa sungguhpun Perdana
Menteri mempunyai kuasa untuk menasihati YDPA dalam hal pelantikan
seseorang Peguam Negara, tetapi sebaik-baik sahaja dia telah dilantik,
maka dia berhak memegang jawatan itu selagi mana diperkenankan oleh
YDPA. Hal ini bermaksud bahawa seseorang Perdana Menteri tiada hak untuk
memecat Peguam Negara sesuka hatinya.
Bahkan jika
diingat lagi, ketika Peguam Negara terdahulu Gani Patail diberhentikan
jawatannya serta merta, banyak pihak, termasuk Tun Mahathir sendiri,
mempersoalkan keabsahan pemecatan itu. Hal ini terkandung di dalam
kertas-kertas kausa Mahkamah yang difailkan oleh Tun Mahathir di dalam
kes samannya terhadap Najib Razak. Malahan Gobind Singh dan Ambiga juga
pernah mengutarakan hal yang sama. [3]
Jika dahulu
pemecatan Gani Patail dikatakan tidak mengikut Perlembagaan, maka adakah
‘pemecatan’ Apandi Ali secara unilateral oleh Tun Mahathir melalui
sidang media boleh dikatakan sebagai mengikut perlembagaan?
KEJANGGALAN KETIGA pula ialah pelantikan
Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan. Ini adalah secara jelas suatu
konflik kepentingan. Lim Guan Eng masih menghadapi pertuduhan jenayah di
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, justeru selagi mana beliau belum
membersihkan namanya, beliau tidak seharusnya dibenarkan untuk memegang
sebarang portfolio jawatan awam kerana dikhuatiri beliau boleh
menggunakan kuasa dan pengaruhnya untuk mempengaruhi keputusan Mahkamah.
Prinsip keadilan memperuntukkan bahawa keadilan tidak hanya perlu
dilaksanakan, malahan ia juga perlu TAMPAK dilaksanakan.
Akhir kata, saya perlu tekankan bahawa
saya bukan ingin mempertahankan regim terdahulu (pimpinan Najib Razak).
Bahkan jika kalian scroll timeline saya dari tahun 2015 hingga kini,
kalian akan menemui banyak kritikan-kritikan saya terhadap Najib Razak.
Bahawa beliau perlu diadili, itu adalah
sememangnya tidak dipertikaikan. Tetapi proses untuk mencapai keadilan
tersebut perlulah mengikut prinsip-prinsip yang digariskan dalam
Perlembagaan Persekutuan, dan tidak boleh sama sekali membelakangkan
kedaulatan undang-undang semata-mata untuk mencapai sesuatu tujuan.
Amatlah merisaukan melihatkan di
hari-hari awalnya lagi, kerajaan baharu ini tidak menunjukkan minat
untuk menghormati peruntukan keperlembagaan, lantas apakah bezanya
mereka dengan kerajaan terdahulu yang digantikannya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan