Ahad, 20 Mei 2018

Syamsul Debat letak semua jawatan dalam UMNO

ainulillia

SEREMBAN – Penceramah motivasi popular, Syamsul Amri Ismail, atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat meletakkan semua jawatan dalam UMNO berikutan kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Syamsul berkata, jawatan yang dilepaskan ialah Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Cawangan Panchor, Ketua Penerangan UMNO Cawangan Panchor dan Penceramah Biro Penerangan UMNO Malaysia.

“Ikhlas buat semua rakan-rakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban dan Jawatankuasa UMNO Bahagian Seremban. 

“Mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku dalam PRU-14 yang lalu, maka dengan ini saya meletakkan semua jawatan saya dalam UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook ‘Syamsul Amri Ismail Official’ hari ini.

Dalam PRU14 pada 9 Mei lalu, Syamsul Debat yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) gagal memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat selepas memperoleh 6,419 undi.

Kerusi itu dimenangi oleh Aminuddin Harun daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperoleh 9,832 undi.

Sementera calon PAS, Rahim Yusof memperoleh 1,331 undi, manakala calon bebas Bujang Abu mendapat 15 undi.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan tidak akan menawarkan diri atau bertanding apa-apa jawatan dalam UMNO untuk memberi laluan kepada pemimpin lain.


Tiada ulasan: