Jumaat, 11 Mei 2018

Sultan Perak beri BN, PH 24 jam bukti miliki majoriti mudah

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan Barisan Nasional (BN) Perak membuktikan bahawa telah mempunyai 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentuk kerajaan negeri.  
 
Menurut Anggota Dewan Negara Perak Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini, baginda menitahkan sebegitu selepas menerima menghadap ADUN Pakatan Harapan (PH) di Istana Kinta hari ini.
 
Memetik laporan Utusan Online beliau berkata, baginda memberi pilihan kepada PH yang mempunyai majoriti paling besar 29 kerusi membentuk kerajaan negeri tetapi dengan syarat parti itu mempunyai majoriti mudah.
 
Katanya, namun pada pagi ini, Pejabat Sultan Perak telah menerima surat daripada BN menyatakan sudah mempunyai majoriti mudah 30 kerusi.
 
“BN mempunyai 27 kerusi dan tiga ADUN Pas telah disembah maklum telah bersetuju untuk membentuk satu kerajaan bersama BN.
 
“Walau bagaimanapun, tuanku mahu mensahihkan kandungan surat tersebut dan BN telah diminta untuk membawa kesemua 30 ADUN bagi membuktikan mereka ada sokongan daripada 30 orang tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Istana Kinta hari ini. 
 
Katanya, sekiranya PH tidak dapat membuktikan mereka mempunyai majoriti mudah, baginda tidak boleh menangguh lama untuk menubuhkan kerajaan negeri.
 
“Tetapi kalau Pakatan Harapan dapat membuktikan mereka juga mempunyai 30 kerusi, baginda akan menimbang semula dan tempoh yang dimohon oleh Pakatan Harapan adalah sehingga pukul 2 petang esok,” katanya.
 
Sesebuah parti memerlukan majoriti mudah sebanyak 30 kerusi daripada 59 kerusi DUN yang ada, untuk membentuk kerajaan negeri. 
 
Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Rabu lalu menyaksikan, PH yang terdiri daripada PKR, DAP, PPBM dan Amanah berjaya memenangi 29 daripada 59 kerusi DUN, sementara BN 27 dan PAS (tiga).
 
 

Tiada ulasan: