Khamis, 31 Mei 2018

SUK Kelantan: Saya tak kata larangan ke atas Husam datang dari istana

MALAYSIAKINI

   
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhamad menafikan beliau berkata arahan untuk menghalang Naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Husam Musa dan pengerusi AMANAH negeri, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah daripada memasuki istana dan premis kerajaan negeri datang dari pihak Istana.

Nazran berkata beliau hanya memaklumkan kepada media tempatan bahawa beliau telah menerima arahan itu daripada 'pihak atasan', lapor NST.

Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawabnya untuk melaksanakan tugas yang diberikan oleh `pihak berkuasa atasan' dan juga dari kerajaan negeri.

"Tidak pernah keluar dari mulut saya bahawa arahan itu berasal dari Istana dan saya juga beritahu wartawan bahawa saya tidak tahu sebab kedua-dua mereka dihalang.

"Akhbar yang membuat kesimpulan mereka sendiri," katanya ketika ditemui NST di pejabatnya hari ini.

Sementara itu, akhbar itu memetik Husam sebagai berkata beliau menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.

"Saya tidak akan mengulas lanjut mengenai isu ini. Ramadan adalah bulan suci bagi umat Islam, oleh itu, lebih baik bagi saya untuk tidak memberikan sebarang komen, "katanya.

Terdahulu, dilaporkan hari ini bahawa arahan untuk menghalang Husam yang juga bekas ADUN Salor dan Wan Abdul Rahim memasuki bangunan istana dan bangunan kerajaan negeri dibuat selepas pekeliling dikeluarkan oleh Nazran.

Nazran dilaporkan berkata pekeliling itu telah diedarkan kepada lebih 2,000 penjawat awam di negeri itu.

Tiada ulasan: