Rabu, 16 Mei 2018

Siasatan perlu ikut undang-undang, jangan aniaya orang - Akhbar Satar

Zaim Ibrahim, Astro Awani
Siasatan perlu ikut undang-undang, jangan aniaya orang - Akhbar Satar
Datuk Akhbar Satar berkata, rakyat tidak mahu ahli politik terkenal kerana rasuah tetapi kerana mereka seorang negarawan.- Astro AWANI
 
 
KUALA LUMPUR: Bagi memastikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kekal telus dan akauntabiliti, suruhanjaya itu perlu menjalankan siasatan mengikut prosedur undang-undang.

Menurut Presiden Persatuan Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar, beliau mengingatkan kerajaan yang baharu supaya tidak mengambil kesempatan untuk menghukum mereka yang didapati bersalah.

“Yang pertama ialah, mematuhi kedaulatan undang-undang seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kedua, siasatan SPRM juga janganlah bertujuan untuk menganiaya orang,” kata beliau ketika ditemubual dalam rancangan Buletin Awani.

Beliau menjelaskan, perkara ketiga, sebarang kes yang dilaporkan, SPRM juga perlu menyiasat secara menyeluruh termasuk memanggil saksi serta dokumen dalam dan luar negara kerana aktiviti rasuah seseorang mungkin lebih banyak berbanding apa yang didedahkan secara umum.

BACA: Masih banyak perlu dilakukan untuk tingkatkan integriti - Akhbar Satar
 
BACA: TIP: Pendakwaan beri peluang Malaysia naik 'Tahap Satu' - Akhbar Satar

Ujar beliau, segala siasatan perlu dijalankan secara profesional selain menyediakan dokumentasi yang kemas supaya pendakwaan kes dapat dijalankan dengan adil.

Beliau turut menyuarakan harapan kepada kerajaan baharu agar dapat mendidik rakyat termasuk agensi-agensi kerajaan daripada melakukan atau menerima rasuah.

“Kita mahu ahli politik kita dikenali sebagai seorang negarawan berbanding terkenal sebagai pemimpin rasuah.

“Sebagai pemimpin, jika kita terlibat dengan penyelewengan atau rasuah nama kita akan diingati sebagai orang paling korup dalam negara,” katanya.



Tiada ulasan: