Jumaat, 11 Mei 2018

Shafie Apdal menghadap Yang Di-Pertua Sabah?

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KOTA KINABALU: Polemik politik di Sabah semakin genting walaupun Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tan Sri Musa Aman sudah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di Istana Negeri di sini, malam tadi.
 
Ini berikutan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kini berada di Istana Negeri di sini, bagi menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
 
Difahamkan, kunjungan ke istana itu antara lain Mohd Shafie memaklumkan parti itu bersama rakannya PKR dan DAP sudah memiliki jumlah mencukupi untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baru di Sabah.
 
Difahamkan, sekurang-kurangnya lima ADUN dari Barisan Nasional (BN) turut bersama dalam pertemuan itu.
 
Mereka ialah dua ADUN UMNO iaitu Datuk Abdul Muis Picho (Sebatik) dan Datuk Hamisa Samat (Tanjong Batu), selain tiga dari UPKO, Datuk Abidin Madingkir (Panginatan), Datuk Bobbey Suan (Nabawan) and Ewon Benedict (Kadamaian).
 
Pergolakan politik di Sabah semakin genting walaupun Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di Istana Negeri, malam tadi.
 
Tengah hari tadi, Abdul Muis dan Hamisa muncul di kediaman Mohd Shafie di Bukit Padang di sini.
 
Kedua-dua ADUN itu tiba dari halaman belakang rumah Mohd Shafie sebelum mengadakan pertemuan tertutup dengan beberapa pemimpin kanan WARISAN.
 
Mereka tidak dilantik sebagai Menteri dalam Kabinet Sabah yang diumumkan Musa selepas mengangkat sumpah, malam tadi.
 
Kedudukan politik di Sabah pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) genting selepas BN dan WARISAN masing-masing memiliki 29 kerusi DUN, manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memiliki dua, sebelum BN membentuk kerajaan dengan kerjasama STAR yang diketuai Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
 
 

Tiada ulasan: